Berita Domestik Kereta

Proton X70 – Perbandingan bersama pesaing SUV Segmen C dan pesaing harga bawah RM150k

Sebagai sebuah SUV pertama yang diproduksikan oleh Proton, tentu sekali ramai yang tertanya-tanya bagaimana posisi Proton X70 ini jika dibandingkan dengan pesaing-pesaing di dalam kelas SUV segmen C dan juga kelas harga di bawah RM150,000.

Untuk itu, kami telah menyediakan jadual perbandingan dimensi SUV baharu itu dan juga dimensi pesaing SUV segmen C yang berada di pasaran, iaitu Honda CR-V, Mazda CX-5, Nissan X-trail.

Selain daripada itu, oleh kerana kebanyakan rakyat Malaysia lebih suka membandingkan kereta yang berada di dalam segmen harga yang serupa, kami juga telah memasukkan dua buah model crossover B-segmen daripada Honda iaitu Honda BR-V dan Honda HR-V serta dua buah model baharu yang dikhabarkan bakal memasuki pasaran Malaysia.

Kita mulakan dengan dimensi Proton X70 (diambil secara terus daripada Geely Boyue) berukuran 4,519 mm panjang, 1,831 mm lebar dan 1,694 mm tinggi.

Sekiranya perbandingan dibuat bersama pesaing di dalam SUV segmen C, Proton X70 merupakan SUV yang paling kecil berbanding SUV yang lain, dengan jarak antara roda sepanjang 2,670 mm, lebih 10 mm berbanding Honda CR-V.

Sekiranya ruang kargo dibandingkan, Proton X70 juga mempunyai dimensi yang lebih kecil, iaitu 320 liter sahaja berbanding Nissan X-Trail yang mempunyai ruang kargo sebesar 550 liter diikuti Honda CR-V 522 liter.

Ini mungkin mendatangkan masalah sekiranya pengguna lebih mementingkan ruang kargo yang lebih besar sebagai faktor utama di dalam pembelian sesebuah kenderaan, terutama bagi mereka yang sudah berkeluarga.

Ruang kelegaan tanah juga merupakan suatu ciri yang dipandang oleh pembeli yang berpotensi, memandangkan negara Malaysia tercinta ini kerap kali dilanda banjir kilat selepas hujan lebat beberapa minit dan lubang jalan yang muncul tidak kira waktu.

Dari segi ini, Proton X70 memiliki ruang kelegaan tanah yang paling rendah di antara ketiga-tiga SUV yang lain, iaitu sekitar 170 mm sahaja, berbanding Mazda CX-5 (193 mm), Honda CR-V (208 mm),  dan Nissan X-trail (211 mm).

Malah, jika dibandingkan dengan pesaing berpotensi di dalam lingkungan harga yang sama, Proton X70 juga sebenarnya kalah kepada ketinggian Honda HR-V (185 mm) dan Honda BR-V (201 mm).

Nadi kuasa turbo, mampukah enjin 1.8 liter mengalahkan SUV lain yang lebih besar?

Walaupun Proton X70 mempunyai sesaran enjin yang lebih rendah berbanding pesaingnya, itu sekitar 1799 cc sahaja, kuasa yang dihamburkan daripada enjin berkuasa turbo itu (181 hp/285 Nm) mampu menandingi Mazda CX-5 2.0 liter (162 hp/210 Nm), Honda CR-V 2.0 liter (153 hp/189 Nm) dan Nissan X-trail 2.0 liter (142 hp/200 Nm).

Suka diingatkan, perbandingan ini hanyalah berdasarkan perbandingan atas kertas semata-mata dan tidak tertakluk kepada ujian di dalam dunia nyata.

Pihak Proton bakal mengumumkan spesifikasi penuh dan harga jualan Proton X70 ini pada hari pelancaran rasmi model SUV pertama daripada pengeluar Malaysia ini.

Spesifikasi awalan telah kami sisipkan menerusi artikel di bawah.

PROTON X70 – PERINCIAN MENGIKUT VARIAN YANG DITAWARKAN

Mengikut maklumat awal yang kami terima, Toyota Rush 2018 dikatakan bakal dibawa masuk ke pasaran Malaysia di bawah sebuah jenama tempatan, manakala Mitsubishi Xpander pula bakal menyusul di dalam masa terdekat.

Sama-sama kita nantikan kemeriahan pasaran segmen SUV di Malaysia tidak lama lagi.

331 Shares

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.