Berita Domestik Kereta

Proton X70 – Lebih 5,000 tempahan telah diterima oleh Proton sehingga kini

Model baru SUV PROTON Holdings Bhd X70 telah menerima lebih daripada 5,000 tempahan dalam masa kurang dari seminggu selepas pratonton media istimewa pada Sabtu lepas.

Beberapa orang pengedar memberitahu The Malaysian Reserve bahawa kebanyakan pelanggan tertarik dengan teknologi dan reka bentuk SUV lima tempat duduk, yang dikhabarkan berharga antara RM80,000 dan RM130,00.

“Sesetengah daripada mereka sangat yakin bahawa SUV tersebut berbaloi dengan setiap wang yang dilaburkan. Malah, mereka turut meminta perincian berhubung spesifikasi premium yang ditawarkan seperti kawalan pemanduan adaptif.

“Ciri ini agak mahal untuk jenama lain,” kata peniaga itu.

Sistem ini dikenali sebagai Autonomous Cruise Control mampu menyesuaikan kelajuan SUV sepenuhnya untuk mengekalkan jarak yang selamat dengan kenderaan di hadapan.

Tambah mereka lagi, Proton akan mengumumkan jumlah tempahan rasmi sebaik sahaja ia mencapai 10,000 unit, iaitu jumlah sasaran syarikat pada peringkat ini.

Walau bagaimanapun, Proton telah menafikan dakwaan harga jualan tersebut menerusi kenyataan yang dibuat pada laman rasmi Facebook Proton Cars.

gambar hiasan

Seorang peniaga lain, yang telah bersetuju untuk menaik taraf kedainya dari pusat jualan 1S ke pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) sehenti, berkata pelanggan yang lebih “elit” telah masuk ke premisnya sejak pratonton media X70.

“Mereka bukan pelanggan tipikal kami. Model (X70) ini walaupun belum dilancarkan namun telah berjaya menarik minat pelanggan berpotensi!” kata peniaga itu.

Semasa pratonton minggu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong mengulangi kenyataan bahawa satu-satunya cara untuk membawa Proton kembali ke landasan adalah dengan menghasilkan produk yang baik.

Proton telah menguasai lebih daripada 80% pasaran automotif pada awal 2000 sebelum kerajaan memutuskan untuk meliberalisasikan industri dan membenarkan kenderaan asing dijual pada harga yang lebih murah melalui Dasar Automotif Negara.

Pada masa ini, syarikat itu hanya memperoleh kira-kira 15% daripada keseluruhan pasaran daripada sejumlah 27 syarikat pengeluar kereta, serta kehilangan penguasaan pasarannya kepada Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dan Honda Motor Co Ltd.

Li juga berkata syarikat itu telah memutuskan untuk menukar sistem penamaannya kepada pendekatan alfanumerik, bermula dengan X70, untuk memastikan bahawa pasaran hanya akan mengenali dan mengaitkan Proton sebagai jenama dengan produk yang baik.

“Kami hanya mahu rakyat mengingati jenama Proton dan bukan nama modelnya,” katanya.

Melihatkan kepada perkembangan semasa, kebanyakan pengedar Proton berharap untuk mendapatkan layanan yang lebih baik daripada institusi kewangan yang lazimnya enggan memberikan kelulusan permohonan pinjaman untuk para pelanggannya.

“Kami telah melihat beberapa bank enggan meluluskan pinjaman untuk pembeli Proton, yang mungkin disebabkan segmen pelanggan kami yang kebanyakannya pembeli pertama.

“Mudah-mudahan perkara akan berbeza selepas ini,” kata pengedar itu.

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.