Berita Domestik Kereta

Proton mulakan siri jelajah pra-tonton SUV X70 di seluruh negara

Proton Edar Sdn Bhd telah memulakan acara pra-tonton SUV pertama keluaran mereka, Proton X70 khas buat para pelanggan bertempat di Petaling Jaya bermula dari 19-23 September 2018.

Para pelanggan, barisan pengurusan syarikat terkemuka serta pembeli korporat yang berpotensi telah dijemput untuk melihat reka bentuk luaran dan dalaman SUV tersebut dalam suasana moden dan mewah.

Menurut Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar berkata, sejak tempahan dibuka 8 September lalu, Proton telah menerima sambutan yang memberangsangkan daripada pihak pelanggan dengan reka bentuk X70 yang serba moden dan terkini.

Model kerjasama antara Proton dan Geely itu turut menampilkan elemen tempatan berinspirasikan cita rasa rakyat Malaysia seperti rekaan gril hadapan, corak Infiniti Weave, lampu DRL serta unsur-unsur mewah yang diterapkan pada SUV ini.

Ketika sesi pra-tonton, rata-rata para pengunjung berkongsikan perasaan teruja mereka terhadap reka bentuk dan ciri-ciri yang ditampilkan dengan rangkaian harga yang dijangkakan.

Menurut Darren Ho, Pengurus Besar Hong Leong Bank Berhad, “Proton X70 sangat hebat dan mengkagumkan, keseluruhan reka bentuk sebagai sebuah kereta rakyat Malaysia yang akan mewakili Malaysia ke peringkat dunia.”

Marizan Nor Basiran, Ketua Pegawai Teknikal WZ Satu Berhad menyatakan Proton X70 merupakan kereta terbaik yang pernah dihasilkan oleh Proton setakat ini, dengan rupa bentuk yang terbaik ia bakal menjadi pilihan utama di pasaran.

Shaun Lin Jern Ming, seorang jurutera menganggarkan harga model Proton X70 tersebut berada di sekitar RM140,000-RM170,000 dan berharap harga jualan sebenar akan menjadi lebih rendah daripada anggaran yang beliau berikan.

Sesi pra-tonton eksklusif Proton X70 ini akan merangkumi tujuh bandar utama di Malaysia yang akan berlangsung sehingga 4 November ini.

Selepas sesi di kawasan sentral, acara ini akan diteruskan di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuching, Kuantan, Ipoh dan Kota Kinabalu.

Menurut Abdul Rashid, pihaknya mensasarkan hampir 6,000 pembeli berpotensi melalui sesi pra-tonton ini dan mengharapkan lebih banyak pelanggan mendaftarkan minat mereka kepada SUV pertama Proton ini.

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.