Berita Domestik Kereta Pelancaran

BMW i8 Roadster dilancarkan secara rasmi – harga bermula dari RM1.5 juta!

Genap sebulan selepas pelancaran rasmi BMW i8 versi Coupe ke dalam pasaran Malaysia, kini BMW Malaysia secara rasminya membawakan BMW i8 Roadster yang dilancarkan serentak dengan acara Conference of the Electric Power Supply Industry (CEPSI) 2018.

Masih membawakan rekaan yang sama seperti varian Coupe, versi Roadster didatangkan dengan lencana Roadster pada tiang C dan ciri bumbung fabrik yang mampu dilipat secara elektronik dalam masa 15 saat sahaja dengan kelajuan sehingga 50 km/j.

BMW i8 Roadster menggunakan casis daripada aluminium dan polimer diperkukuh gentian karbon (CFRP) serta rangka cermin hadapan serta pintu jenis gullwing tanpa bingkai cermin daripada CRFP memberikan perlindungan yang lebih kepada para penumpang sekiranya berlaku kemalangan roll-over.

Seperti varian Coupe, BMW i8 Roadster menggunakan enjin tiga silinder 1.5 liter kuasa turbo dengan kuasa setinggi 231 hp dan tork maksimum 320 Nm yang disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi automatik enam nisbah kelajuan.

Motor elektrik serba baharu pada gandar hadapan yang didatangkan pada sistem hibrid Roadster ini mampu menjadikan kuasa keseluruhan sebanyak 374 hp, dan ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.6 saat sebelum kelajuan tertinggi dihadkan kepada 250 km/j.

Gandingan kuasa daripada sistem motor elektrik dan enjin pembakaran dalaman pada i8 ini memberikan bacaan penggunaan bahan api serendah 2.0 liter/100 km!

Sistem bateri telah dinaikkan kapasiti sel daripada 20 Ah kepada 34 Ah, manakala kapasiti tenaga elektrik kasar ditingkatkan kepada 11.6 kWh daripada 7.1 kWh, menjadikan jarak pengoperasian menggunakan mod pemanduan elektrik telah meningkat daripada 35 km kepada 53 km dengan kelajuan maksimum dihadkan kepada 120 km/j.

Dari segi kelengkapan, BMW i8 Roadster membawakan ciri yang serupa daripada BMW i8 Coupe seperti BMW Head-up Display, stereng balutan kulit, kamera keliling 360o, tempat duduk dengan fungsi tetapan elektronik, sistem navigasi Professional dengan skrin sentuh 8.8 inci, sistem bunyi keliling Harman Kardon dan ciri keselamatan standard seperti amaran pelanggaran dan pejalan kaki serta brek kecemasan automatik (AEB).

Didatangkan dengan warna tunggal E-Copper dengan kombinasi warna dalaman Accaro, BMW i8 Roadster boleh didapati di pengedar BMW bertauliah pada harga RM1,508,800.00 atas jalan tanpa insurans dan hadir dengan jaminan daripada pengeluar tanpa had perbatuan, servis percuma selama lima tahun dan waranti tayar selama dua tahun.

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.