Berita Global Kereta

Volvo perkenal V60 Cross Country baharu – varian T5 dengan 250 hp, 350 Nm

Jika sebelum ini Volvo memperkenalkan versi baharu Volvo V60 dengan tema versatiliti dalam kekeluargaan, versi Cross Country yang baharu sahaja diperkenalkan ini pula membawa tema tersebut jauh merentasi desa.

V60 Cross Country sebenarnya merupakan sebuah V60 namun dengan jarak kelegaan daripada tanah telah dinaikkan sebanyak 74.93 mm daripada ketinggian asal dan dibantu dengan sistem gantungan yang ditala bagi membolehkan V60 ini meredah jalan soft-road dengan mudah.

Seperti adik beradiknya yang lain, V60 Cross Country dibangunkan daripada platform modular Volvo SPA, namun penekanan diberikan lebih kepada casis supaya ia mampu menampung tekanan daripada aktiviti soft-roading tadi.

Ciri pacuan semua roda AWD hadir sebagai ciri standard dan dilengkapkan dengan ciri-ciri lain seperti kawalan menurun bukit, mod pemanduan khas jalan off-road, sistem “Pilot Assist” yang mampu beroperasi sehingga kelajuan 128 km/j dan sistem brek kecemasan automatik yang mampu mengesan kehadiran lintasan pejalan kaki, penunggang basikal dan haiwan liar yang besar.

Untuk pasaran Amerika, Volvo V60 Cross Country hadir dengan spesifikasi T5 yang dikuasakan enjin 2.0 liter empat silinder dengan kuasa turbo, yang mana ia mampu menghasilkan kuasa setinggi 250 hp dan 350 Nm tork maksimum.

Menurut Volvo lagi, versi mild hibrid dan plug in hybrid bakal menyusul dalam masa terdekat.

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.