Berita Global Kereta

VinFast tayang rekaan penuh sedan dan SUV pertama mereka

Syarikat automotif pertama dari Vietnam, VinFast memperlihatkan rekaan penuh bagi sedan dan SUV pertama mereka sebelum memperkenalkan secara rasmi di Paris Auto Show penghujung tahun ini.

Sedan dan SUV pertama tersebut telah direka oleh Pininfarina berdasarkan pilihan raya kecil yang dijalankan oleh 62,000 rakyat Vietnam yang diberikan peluang untuk memilih rekaan kegemaran mereka.

 

Walaupun pada awalnya rekaan ItalDesign telah memenangi pilihan raya kecil tersebut, Pininfarina telah dipertanggungjawabkan untuk membangunkan model tersebut berdasarkan rekaan sedia ada.

Kedua-dua sedan dan SUV tersebut dipertaruhkan untuk bersaing di dalam kelas premium dan menampilkan rekaan hadapan yang serupa, menampilkan emblem krom berbentuk V pada gril tengah, rekaan krom melintang yang disambung pada lampu nyalaan siang (DRL) jenis LED, serta lampu utama yang tajam.

Jika dilihat dengan teliti, kedua-dua sedan dan SUV tersebut menampakkan rekaan platform daripada sebuah pengeluar kereta mewah dari Barat.

Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh AutoCar UK, sedan VinFast ini menggunapakai platform sedia ada daripada BMW 5 Series, manakala SUV itu pula menggunakan platform daripada SUV X5, dan kedua-dua model ini dikatakan bakal menggunakan enjin petrol berkuasa turbo N20 daripada BWM berkapasiti 2.0 liter.

Enjin tersebut mampu menghasilkan dua output kuasa iaitu 175 bhp dan 227 bhp sebelum disalurkan kepada sistem pacuan dua roda belakang atau pacuan semua roda menerusi transmisi automatik ZF dengan lapan nisbah kelajuan.

Menurut ketua unit kejuruteraan VinFast, Kevin Fisher berkata mereka telah mengubahsuai platform yang disediakan oleh BMW bagi memastikan kenderaan yang dihasilkan itu lebih selamat dan mampu mencapai regulasi global yang telah ditetapkan.

VinFast hanya akan mendedahkan info lengkap berkenaan kedua-dua sedan dan SUV yang masih belum dinamakan ini pada acara Paris Auto Show bermula 2 Oktober kelak.

Walaupun diperkenalkan secara global, VinFast tidak terburu-buru untuk terus melancarkan kedua-dua model tersebut untuk pasaran dunia.

Sebaliknya mereka akan menumpukan perhatian kepada pasaran tempatan terlebih dahulu diikuti dengan pasaran yang berdekatan bermula seawal tahun hadapan.

Selain daripada kedua model sulung ini, syarikat terbesar di Vietnam tersebut dijangka akan memulakan pembangunan kereta elektrik, kereta bandar, bas elektrik dan skuter elektrik dalam masa yang terdekat.

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.