Berita Global Elektrik

Tesla Model 3 pendahulu senarai kereta elektrik paling laris di USA 2018

Pasaran kenderaan elektrik (EV) di Amerika Syarikat sebenarnya tidaklah begitu memberangsangkan, memandangkan permintaan di sana lebih cenderung untuk memilih trak pikap, crossover dan SUV.

Berdasarkan jangkaan angka jualan keseluruhan sehingga penghujung bulan Ogos 2018, dianggarkan sebanyak 11.2 juta unit kenderaan baharu terjual di Amerika dan daripada angka tersebut, hanya 114,200 unit sahaja kenderaan elektrik (EV) yang berjaya menembusi pasaran.

Disini kami sertakan lima EV yang paling popular di Amerika bagi tahun 2018 sehingga bulan Ogos yang lalu.

Seperti yang dijangka, Tesla sebagai pengeluar utama kenderaan elektrik dengan menggondol tiga tangga utama manakala dua buah model lagi berasal daripada GM Motors dan juga Nissan.

 

5. Nissan Leaf

Menurut data daripada Inside EVs, Nissan Leaf telah berjaya mencuri perhatian hampir 9,123 pemilik kenderaan yang menginginkan sebuah EV yang kompak pada lapan bulan pertama tahun 2018.

Dengan jarak pengoperasian hampir 378 km (data NEDC), ia dikuasakan oleh motor elektrik tunggal yang mampu memberikan 147 hp dan 320 Nm daya kilas dan boleh dioperasikan menggunakan satu pedal sahaja.

 

4. Chevrolet Bolt EV

Sebuah lagi hatchback berkuasa elektrik sepenuhnya, namun ia dihasilkan oleh Chevrolet, dengan jumlah jualan menjangkau 10,258 unit telah dicatatkan sehingga Ogos lalu.

Spesifikasi motor elektrik tunggal memberikan kuasa 200 hp dan daya kilas sebesar 363 Nm, ia mampu bergerak sejauh 383 km dan seperti Nissan Leaf, Chevrolet Bolt EV juga mempunyai ciri pemanduan “single-pedal operation”.

 

3. Tesla Model X

Model ketiga paling popular di Amerika ialah sebuah crossover SUV elektrik daripada Tesla, Model X dengan reka bentuk pintu belakang jenis gullwing dan kuasa pecutan 2.9 saat sebelum mencecah 100 km/j.

Menurut laporan, Tesla telah mengedarkan hampir 13,600 unit Model X sepanjang tahun ini sehingga penghujung bulan lapan.

Didatangkan dengan pelbagai varian, versi asas 75D mampu mencecah 380 km manakala versi paling premium P100D mampu bergerak sejauh 465 km dengan sekali pengecasan penuh.

 

2. Tesla Model S

Model kedua keluaran Tesla ini dinobatkan sebagai kereta Tesla paling laris di dalam pasaran dan sedan bersaiz penuh ini mampu memuatkan lima orang penumpang dewasa dengan selesa dan dua penumpang kanak-kanak yang terletak di bahagian boot belakang.

Model asas 75D mampu mencapai jarak sejauh 432 km manakala versi paling atas P100D mampu mencecah 500 km secara purata.

Seperti mana Tesla Model X, ia mampu memecut sepantas 2.5 saat (0.4 saat lebih pantas) daripada pegun ke kelajuan 100 km/j.

 

1. Tesla Model 3

Walaupun berdepan dengan pelbagai isu kontroversi melibatkan fasa produksi, sedan kompak Tesla Model 3 merupakan pendahulu senarai kenderaan elektrik paling popular dengan catatan jualan mencapai 55,882 unit sepanjang lapan bulan pertama 2018.

Model 3 mempunyai jarak pengoperasian sejauh 346 km dan mampu mencapai jarak hampir 500 km dengan kapasiti bateri yang lebih besar.

Varian Performance membolehkan Tesla Model 3 memecut lebih perlahan daripada abang-abang besarnya, iaitu 3.5 saat sebelum mencecah kelajuan 100 km/j.

Sumber: MyEV.com

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.