Berita Global Kereta

Tata EVision mampu jalan 1,000 km dengan sekali caj? PALSU!

Apa yang terjadi kepada model konsep Tata EVision merupakan contoh klasik bagaimana kita tidak seharusnya percaya berita yang disebarkan melalui laman sosial tanpa usul periksa terlebih dahulu.

Selain daripada berita berkaitan hal ehwal politik semasa, industri automotif juga tidak terkecuali daripada terkena tempias berita palsu, apatah lagi terlalu ramai pahlawan papan kekunci yang lahir saban hari bak cendawan tumbuh selepas hujan.

 

Beberapa bulan yang lalu ketika acara tahunan Geneva Motos Show 2018 berlangsung, Tata telah memperlihatkan model konsep elektrik Tata EVision berdasarkan platform modular OMEGA serba baharu.

Berkongsi platform dengan Tata Harrier (yang kemudiannya telah ditukarkan nama oleh kerana Toyota), model konsep ini dikatakan mampu berjalan sejauh 300 km dengan sekali pengecasan penuh dengan pecutan sepantas 7 saat dari pegun sebelum mencapai kelajuan 100 km/j.

Walaupun tiada sebarang perincian berkenaan spesifikasi lengkap model konsep ini, Tata EVision ini dikatakan bakal menawarkan tetapan motor elektrik berkembar (satu untuk setiap gandar) sama seperti Tesla.

Namun, apa yang terjadi di media sosial di India agak berbeza apabila berita palsu yang disebarkan menyebut Tata EVision ini bakal menawarkan jarak pengoperasian sejauh 1,000 km, jaminan ke atas bateri selama 10 tahun, pelancaran dijangka pada September 2019 dan harga bermula dari Rs 25 Lakh ($34,347 atau RM142,282).

Kesal dengan kejadian yang menimpa Tata, Ketua Komunikasi Korporat Suresh Rangarajan menyatakan “berita palsu telah tersebar jauh meluas – tiada sebarang pengumuman sedemikian dibuat oleh syarikat (Tata). Liar sungguh imaginasi manusia.” dibuat menerusi status yang dimuat naik menerusi laman LinkedIn.

Tidak semua kereta konsep wajib untuk memasuki fasa produksi oleh kerana tujuan asalnya adalah untuk memperlihatkan arah tuju sesebuah pengeluar dalam beberapa aspek seperti platform, bahasa rekaan, sistem pacuan, teknologi yang berkait serta falsafah rekaan masa hadapan.

Untuk membangunkan sesebuah model berdasarkan model konsep, para pengeluar perlu mengambil kira beberapa aspek yang penting seperti kos pembangunan, teknologi termasuklah pandangan daripada umum sebelum merealisasikan sesebuah projek.

Tata Nexon antara yang berjaya memasuki fasa produksi

Oleh kerana itu, Tata sehingga kini hanya menghasilkan 9 sahaja produk daripada 20 buah model konsep yang telah dipertunjukkan kepada umum sejak 20 tahun yang lalu, manakala baki 11 buah model kekal sebagai model konsep, termasuklah Tata EVision.

Antara contoh yang terdekat dengan kita ialah Proton menerusi pengenalan model konsep Tuah Lima Bersaudara lapan tahun yang lalu di Kuala Lumpur International Motor Show 2010.

Daripada lima konsep yang dipamerkan, hanya dua sahaja yang berjaya memasuki fasa produksi iaitu Tuah (Preve) dan juga Kasturi (Saga facelift) manakala model Jebat (Inspira versi prestasi), Lekir (kereta sports Lotus Europa) dan Lekiu (crossover berasaskan Proton Exora) tidak pernah direalisasikan.

Mujur juga pada zaman itu berita palsu kurang sensasi di laman sosial jika dibandingkan pada masa kini.

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.