Berita Global Motosikal

Suzuki Hayabusa pecah rekod kelajuan tertinggi 436 km/j!

Kita lupakan seketika berita Suzuki Katana yang dikatakan bakal membuat kemunculan pada Oktober nanti, oleh kerana sebuah lagi motosikal Suzuki dikhabarkan telah memecahkan rekod kelajuan terpantas bagi kategori motosikal sah jalanan.

Suzuki Hayabusa, atau lebih dikenali dengan kod GSX1300R pada awal pengeluarannya merupakan sebuah superbike produksi massa terpantas di dunia dengan catatan kelajuan 312 km/j (!).

Namun, baru-baru ini sebuah Hayabusa yang sah digunakan di atas jalan talaan Big CC Racing telah memecahkan rekod terbaharu dengan catatan kelajuan mencecah 436 km/j (271 batu per jam) di atas litar drag 400 meter dengan bantuan daripada penunggang Phil Wood.

Hayabusa tersebut pada asalnya merupakan sebuah motosikal berkuasa turbo dengan angka 1,000 bhp yang telah diturunkan kepada 670 bhp bagi membolehkan ia ‘mudah’ dikawal dan meningkatkan tahap cengkaman tayar ketika sesi ujian.

Enjin bersesaran 1,547 cc tersebut telah dimodifikasi menurut spesifikasi yang dikhaskan untuk kegunaan perlumbaan drag, dengan ekzos yang telah ‘disenyapkan’ dan alat kawalan tetapan boost yang boleh diubah, dan menariknya ia masih sah untuk digunakan di atas jalan raya, lengkap dengan insurans dan cukai jalan.

Menurut Sean Mill daripada Big CC Racing, mereka berpuas hati dengan pencapaian untuk tahun 2018 dan menjangkakan perkara yang serupa untuk tahun 2019.

Hayabusa bakal ‘terbang’ lebih laju?

Dikhabarkan, selain daripada Katana, Suzuki juga dijangka akan melancarkan Hayabusa baharu, GSX-R600 dan GSX-R750 pada acara INTERMOT Oktober hadapan.

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.