Berita Global Informasi Kereta

Sistem operasi Android untuk kenderaan Renault-Nissan-Mitsubishi menjelang 2021

Syarikat gergasi Google baru sahaja mengumumkan kerjasama mereka bersama pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi demi memastikan lebih ramai pengguna menikmati sistem operasi Android pada kenderaan mereka.

Hasil daripada perjanjian persefahaman tersebut, kesemua kenderaan keluaran pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi bakal dilengkapkan dengan sistem operasi Android bermula tahun 2021.

Google bukan sahaja membekalkan sistem operasi Android OS, bahkan mereka menambah ciri-ciri seperti Google Maps dan Google Assistant yang mampu dikawal menerusi suara.

Apa yang menarik, Google memberikan kebebasan kepada pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi untuk mengubah suai antaramuka (user interface) bersesuaian dengan imej syarikat mereka.

Langkah terbaharu ini selari dengan sasaran dan pelan jangka panjang untuk menghasilkan kenderaan yang dilengkapi dengan aplikasi mobiliti terhubung dan perkhidmatan berasaskan awan menjelang 2022, selain daripada sasaran untuk menaikkan jualan kepada 14 juta unit setahun, melancarkan 12 buah kenderaan elektrik sifar emisi, teknologi swapandu dan perkhidmatan Alliance Intelligent Cloud yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Alliance Intelligent Cloud dikatakan merupakan sistem infotainmen generasi terbaharu yang menawarkan platform khusus untuk integrasi dan pengurusan data, dan diagnostik mudah alih untuk kenderaan Renault-Nissan-Mitsubishi selain daripada memberikan informasi hiburan kepada para pengguna.

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.