Berita Global Elektrik Trak

Scania perkenal trak L 320 6×2 versi hibrid dan PHEV

Bersempena dengan acara IAA 2018, Scania mengambil kesempatan itu untuk memperkenalkan secara rasmi trak baharu mereka L 320 6×2 yang didatangkan dalam dua versi; trak hibrid dan trak plug-in hybrid (PHEV).

Kedua-dua versi trak ini hadir dengan spesifikasi pek bateri yang serupa, iaitu 18.4 kWh (yang dihadkan kepada 7.4 kWh untuk ketahanan bateri yang lebih lama) membolehkan ia mampu bergerak sejauh 10 km di dalam mod pemanduan elektrik sepenuhnya.

Scania L 320 6×2 hybrid

Walaupun dengan jarak pengoperasian yang begitu terhad, Scania mensasarkan trak L 320 mereka untuk beroperasi di kawasan sensitif pencemaran dan bunyi selain berupaya untuk mengangkut muatan bagi jarak operasi yang pendek seperti di dalam bandar.

Manakala trak L 320 6×2 versi hibrid pula hadir dengan enjin diesel lima silinder sebaris DC09 dengan tiga output kuasa yang berbeza iaitu 280, 320 atau 360 hp, dengan gabungan dengan motor elektrik yang memberikan kuasa sebanyak 177 hp dan daya kilas maksimum 1,050 Nm.

Menurut Scania, trak hibrid ini mampu mengurangkan tahap pelepasan karbon dioksida ke udara sebanyak 92% di samping memberikan kuasa kerja yang lebih baik dan berkesan terutama di dalam kawasan urban.

Trak L 320 6×2 versi hibrid sudah boleh ditempah bermula bulan November 2018, manakala versi PHEV akan menyusul pada awal tahun hadapan.

Sumber: Inside EVs

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.