Berita Global Kereta

Porsche sahkan tamat khidmat enjin diesel, tumpu pada model PHEV, EV

Menurut satu kenyataan yang dibuat oleh Oliver Blume, bos besar Porsche mengesahkan mereka tidak akan menawarkan enjin diesel dalam penawaran kenderaan mereka berkuat kuasa serta merta.

Kenyataan ini turut diperkuat dengan pelan perancangan terkini Porsche untuk menumpukan perhatian pada pembangunan model plug-in hybrid (PHEV) dan juga kenderaan elektrik (EV).

Sebelum ini, Porsche telah mengesahkan mereka tidak lagi menawarkan model Macan S dan Panamera 4S versi diesel ke dalam pasaran pada Februari yang lalu oleh kerana penguatkuasaan undang-undang emisi yang semakin ketat dan juga permintaan yang semakin kurang di kalangan para peminat Porsche.

Bahkan jumlah jualan kenderaan diesel Porsche bagi tahun 2017 sekadar mencatatkan 12% sahaja daripada jumlah keseluruhan jualan kenderaan Porsche secara global.

Oliver Blume dalam satu kenyataan menyebut, “enjin diesel akan kekal sebagai salah satu teknologi pembakaran yang penting, walaubagaimanapun sebagai sebuah pengeluar kereta berprestasi tinggi, enjin diesel bukan keutamaan kami.”

Blume memberikan jaminan bahawa pelanggan yang telah membeli model diesel tetap akan diberikan perhatian yang sewajarnya.

Porsche dijangka akan memperkenalkan kereta sports berkuasa elektrik sepenuhnya, Taycan seawal tahun hadapan dengan sasaran untuk menghasilkan versi elektrik dan PHEV bagi model baharu Porsche menjelang 2025.

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.