Berita Global Kereta Teknologi

Porsche, Hyundai labur dalam projek augmented reality (AR) WayRay

Teknologi augmented reality (AR) merupakan teknologi terkini yang menggabungkan imej dan pelbagai informasi kritikal yang menggunakan imej janaan komputer yang dipaparkan kepada dunia realiti.

Sebelum ini teknologi AR ini sudah pun hadir dalam versi yang paling ringkas untuk kegunaan kenderaan biasa seperti head-up display (HUD) yang memaparkan bacaan kelajuan semasa, putaran enjin, bacaan tekanan G dan sebagainya.

Menerusi kerjasama di antara Porsche dan Hyundai, mereka kini mengumumkan bakal mengambil tempat di dalam pembangunan perisian AR bernilai $80 juta bersama sebuah syarikat permulaan yang berpangkalan di Switzerland, WayRay.

Unit AR yang dibangunkan oleh WayRay dikatakan menarik perhatian kedua syarikat tersebut disebabkan sifat dimensinya yang kecil dan mudah alih (jika dibandingkan dengan syarikat pesaing).

Memandangkan sifat dimensi yang lebih baik, ia juga mudah untuk dimuatkan kepada mana-mana model kenderaan (atau rumah kediaman) dengan sudut penglihatan yang lebih luas dan mampu mengurangkan bebanan penglihatan kepada mata pemandu.

Menurut Hyundai, unit AR ini boleh diperluaskan fungsinya kepada paparan pejalan kaki, papan tanda amaran, kawasan parkir, kawasan pembinaan dan memberikan arahan navigasi yang lebih tepat, terima kasih kepada sistem komunikasi mobiliti terhubung antara kenderaan-ke-kenderaan (V2V) dan kenderaan-ke-bangunan (V2B).

Ketika Hyundai mahu menumpukan perhatian kepada kegunaan kehidupan seharian, Porsche pula mahu menggunakan ciri AR holografik ini pada kenderaan sports mereka untuk meningkatkan tahap tumpuan dan skil pemandu terutama ketika di litar lumba menerusi paparan garisan lumba (race line) yang ideal dan imej kereta hantu atau “ghost car” seperti mana kebiasaan di dalam aplikasi permainan mudah alih.

Menurut WayRay, ciri holografik AR ini bakal diperluaskan kegunaannya kepada beberapa sektor di dalam automotif seperti kenderaan swapandu dan juga rumah pintar dan kawasan pembinaan.

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.