Berita Global Elektrik

Peugeot 3008 GT, 508 dan 508 SW terima varian HYBRID4 dan HYBRID bermula Q2 2019

Tatkala Peugeot di China sedang menguji 608 atau secara tepatnya Peugeot 508 dengan wheelbase yang lebih panjang, Peugeot secara rasminya telah memperkenalkan versi hibrid pacuan semua roda (AWD) untuk varian tertinggi model crossover 3008 GT.

Sistem hibrid yang digelar HYBRID4 itu didatangkan dengan dua buah motor elektrik (satu untuk setiap gandar) digandingkan dengan enjin PureTech mampu menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 300 kuasa kuda.

 

Dengan sistem HYBRID4 ini, crossover 3008 GT itu mampu memecut daripada pegun sepantas 6.5 saat sebelum mencecah kelajuan 100 km/j.

Dengan menggunakan mod pemanduan elektrik sahaja, Peugeot 3008 GT hibrid ini mampu bergerak sejauh 60 km (mengikut kitaran WLTP) , terima kasih kepada pek bateri berkuasa 13.2 kWh yang dibekalkan kepada crossover ini.

Manakala bagi model 508 fastback dan 508 SW (dan 3008 varian selain daripada premium), Peugeot mendatangkan sistem HYBRID dengan konfigurasi enjin konvensional 180 hp dan motor elektrik tunggal 110 hp dengan jumlah kuasa gabungan mencatatkan angka 225 hp.

Pek bateri berkapasiti 11.8 kWh pula mampu memberikan jarak pengoperasian sejauh 40 km sekiranya kedua-dua model tersebut menggunakan mod pemanduan elektrik sepenuhnya.

Kesemua sistem hibrid didatangkan dengan sistem pengecas standard berkuasa 3.3 kW 8A (masa pengecasan tujuh jam) dan pengecas 3.3 kW 14A (masa pengecasan empat jam), manakala sistem pengecasan pantas Wallbox (6.6 kW 32A) pula memberikan masa sepantas 1 jam 45 minit untuk mencapai kapasiti bateri penuh.

Menurut Peugeot, kesemua varian hibrid 3008 GT, 508 dan 508 SW akan hadir di pasaran menjelang suku kedua tahun 2019.

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.