Berita Global Kereta

Pakistan bakal terima Proton Iriz versi elektrik?

Syarikat pengeluar kenderaan Pakistan, Al Haj Motos telah menandatangai perjanjian bersama syarikat automotif negara, Proton bagi memasang dan mengedarkan kenderaan elektrik dan mesra alam di Pakistan.

Laporan daripada Daily Pakistan Global itu antara lain menyebut perjanjian kedua belah pihak tersebut telah dimeterai di ibu pejabat Proton di Kuala Lumpur dengan nilai pelaburan mencecah $300 juta (RM1.2 billion).

Menurut perjanjian tersebut, syarikat Al-Haj bakal menjual dan memasang kenderaan jenis sedan, crossover, SUV dan hatchback keluaran Proton serta mempelbagaikan kenderaan keluaran Al-Haj itu sendiri.

Difahamkan, syarikat Al-Haj juga bakal melancarkan Proton Iriz versi elektrik (EV) setelah syarikat tersebut memulakan operasi dan membangunkan fasiliti pemasangan kenderaan Proton secara rasmi di sana.

Walaubagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada Al-Haj bakal melakukan pemasangan kenderaan dari Proton secara tempatan (CKD) ataupun mengimport secara terus (CBU).

Proton Iriz varian elektrik dipertontonkan buat kali pertama menerusi acara International Greentech & Eco Products Exhibition and Conference Malaysia pada tahun 2015 dengan nadi kuasa elektrik sepenuhnya (155 hp/360 Nm) dibantu oleh pek bateri lithium ion berkapasiti 39.6 kWh.

Spesifikasi pada tahun 2015 itu menampilkan Iriz elektrik dibekalkan dengan sistem pengecasan biasa 6.6 kW yang mengambil masa kira-kira tujuh jam untuk mencapai kapasiti bateri penuh, manakala sistem pengecasan pantas berkuasa 50 kW mampu memberikan kapasiti bateri sebanyak 40% dalam masa kira-kira 15 minit sahaja.

Iriz versi elektrik ini mempunyai jarak pengoperasian sejauh 300 km (menurut kitaran NEDC) membolehkan anda mengembara dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru menggunakan sekali pengecasan penuh sahaja.

Sehingga artikel ini ditulis, kami belum dapat memastikan lagi adakah Iriz varian elektrik bakal menggunapakai spesifikasi yang sama ataupun menerima sistem pacuan kuasa elektrik daripada Geely.

Sekiranya berita ini benar, ia merupakan kali pertama kenderaan berkuasa elektrik bakal memasuki pasaran Pakistan dengan pendahulu Proton Iriz varian elekrik dilancarkan di luar negara terlebih dahulu berbanding pasaran Malaysia.

Diam diam ubi berisi ya Proton!

Sumber gambar: Paultan

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.