Berita Global Trak

Nissan Navara Dark Sky – trak pikap talaan khusus buat pakar kaji bintang

Sekiranya anda seorang peminat bidang kajian astronomi dan mahukan sebuah kenderaan yang pelbagai guna yang mampu membawa anda ke tempat yang tidak menjadi tumpuan umum, Nissan ada jawapannya.

Memperkenalkan Nissan Navara Dark Sky yang dibangunkan khusus untuk para pengkaji bintang di langit malam.

Nissan Navara edisi Dark Sky merupakan projek kolaborasi di antara European Space Agency (ESA) yang direka untuk membantu pakar kaji bintang (astronomer) melakukan pemerhatian dengan lebih terperinci di kawasan yang terpencil bagi mendapatkan hasil pemerhatian yang lebih baik.

Memandangkan beberapa kawasan tumpuan kini tercemar oleh pencemaran cahaya (light pollution) yang dihasilkan oleh bandar-bandar besar, para pengkaji bintang memerlukan sebuah tempat yang jauh terperosok di pedalaman dan untuk sampai ke tempat tersebut, hanya Nissan Navara sahaja yang mampu membawa mereka beserta peralatan yang diperlukan.

Nissan Navara hadir dengan ciri Nissan Intelligent Mobility, membolehkan Navara menetapkan kedudukan terbaik untuk memposisikan teleskop yang terpasang pada makmal bergerak di bahagian belakang, terima kasih kepada sistem kamera keliling dan radar yang mampu mengesan dan menganalisa kawasan sekeliling.

Sebagai sebuah kenderaan off-road yang dikhususkan untuk mengkaji bintang, Navara menerima layangan cat berwarna hitam ‘bermotifkan nebula’ yang dihasilkan menggunakan ‘teknik corak parametrik’ manakala bahagian dalaman pula menerima kemasan kulit hitam yang diselangi dengan elemen berwarna jingga.

Bagi memudahkan urusan kerja, pihak ESA melengkapkan makmal pemerhatian bergerak ini dengan sebuah teleskop berkuasa tinggi PlaneWave yang mampu menerima data geo-lokasi daripada satelit Gaia.

Malah, menurut Dr Fred Jansen, jurucakap ESA berkata modul trailer makmal bergerak tersebut hadir dengan sistem pengawal suhu ‘special refrigerated atmosphere‘ membolehkan sistem teleskop tersebut kekal dengan kalibrasi dan suhu operasi yang optimum tidak kira di mana jua lokasi ia ditugaskan.

Sebagai seorang peminat trak pikap dan minat memerhatikan langit berbintang, penulis dapat merasakan ada ‘chemistry’ yang tercetus tatkala mula melihat imej trak pikap Navara Dark Sky ini.

Mungkin suatu hari nanti pihak ETCM mampu bekerjasama dengan Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dan hadir dengan versi tersendiri Dark Sky untuk para pengkaji bintang di Malaysia.

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.