Berita Global Elektrik Kereta

Nissan Leaf bakal terima naik taraf pek bateri – beri jarak operasi yang lebih jauh

Nissan Amerika telah mengumumkan struktur harga jualan bagi model elektrik Nissan Leaf untuk musim 2019 bagi ketiga-tiga varian yang ditawarkan di pasaran Amerika.

Nissan Leaf ditawarkan dalam tiga varian iaitu Leaf S, Leaf SV dan Leaf SL, dengan harga jualan bermula dari $29,990 (RM124k++) sehinggalah varian tertinggi Leaf SL pada harga $36,200 (RM149k++).

Spesifikasi Nissan Leaf untuk tahun 2019 masih dikekalkan termasuklah penawaran ProPILOT Assist, e-Pedal, pek bateri 40 kWh dengan jarak pengoperasian kira-kira 240 km, serta tambahan ciri Rear Door Alert (RDA).

Di dalam siaran akhbar yang sama diterbitkan oleh Nissan Amerika, mereka juga mengesahkan Nissan Leaf bakal menerima naik taraf pek bateri yang lebih besar, memberikan tambahan jarak pengoperasian sedia ada kepada satu angka yang masih belum diputuskan.

Pihak Inside EVs meramalkan Nissan Leaf 2019 bakal ditawarkan dengan pek bateri yang lebih besar (60 kWh) dengan ciri pengecasan pantas yang lebih berkesan ditambah dengan sistem pengawalan haba aktif terbina.

Ini kerana spesifikasi tersebut pernah terbocor beberapa bulan yang lalu yang memaparkan imej sebuah Nissan Leaf diuji di sebuah stesen pengecasan pantas EVTEC dengan pek bateri serba baharu.

Bagi pasaran Malaysia, Edaran Tan Chong Motor dikhabarkan bakal melancarkan Nissan Leaf secara rasmi dalam masa terdekat, namun spesifikasi rasmi model yang akan dilancarkan tersebut masih tidak didedahkan kepada umum.

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.