Berita Global Motosikal

Nadi baharu untuk Kawasaki ZX-10R 2019 – Enjin Testarossa dengan kuasa 203 PS

Usah terpedaya dengan nama Testarossa kerana ia tiada kaitan dengan Ferrari Testarossa yang pernah hadir sekitar tahun 1984 sehingga tahun 1991.

Ia lebih kepada penamaan kod yang digunakan oleh Kawasaki untuk ketiga-tiga model ZX-10R dengan penggunaan enjin serba baharu yang lebih berkuasa dan naik taraf dari segi penawaran teknologi.

Enjin baharu ‘Testarossa’ itu dikatakan telah menerima rekaan kepala silinder serba baharu dan diikuti oleh sistem operasi injap jenis finger-follower bagi mengurangkan beban terhadap sistem injap sebanyak 20 peratus, membolehkan putaran enjin yang lebih tinggi mampu dicapai dan kebuk pembakaran yang lebih kompak.

Apa yang menarik perhatian, enjin baharu ini boleh dilihat menerusi penggunaan penutup cam (cam cover) Testarossa berwarna merah.

Naik taraf enjin baharu ini turut disertakan dengan beberapa ciri naik taraf berikut mengikut model yang ditawarkan:


1. ZX-10R – naik taraf kuasa kepada 203 PS
2. ZX-10R SE – naik taraf sistem suspensi elektronik KECS, rim forged Marchesini
3. ZX-10RR – penggunaan titanium con rod Pankl, membolehkan kuasa dinaikkan kepada 204 PS

Selain daripada pakej naik taraf aspek teknikal, model SE dikatakan menerima teknologi cat rawat sendiri (self-healing), membolehkan ia membaiki dengan sendiri kesan calar yang kecil pada bahagian yang mudah terdedah kepada risiko.

Menurut Kawasaki, teknologi baharu ini terdiri daripada dua segmen cat yang lembut dan kasar ‘bekerjasama’ membentuk efek trampolin bagi membolehkan impak yang ringan diserap dengan berkesan dan mengurangkan kesan pelanggaran dengan jelas.

Kawasaki tidak mendedahkan perincian sebenar harga jualan bagi ketiga-tiga model ini, namun terdapat desas desus menyatakan model varian tertinggi ditawarkan pada harga sekitar £21,000 (RM111,969 mengikut pertukaran mata wang terkini).

Sumber: Visor Down

0 Shares

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.