Berita Global Kereta

Mercedes-Benz GLE 2019 diperkenalkan – tampil dengan sistem pacukuasa mild hibrid 48V

Mercedes-Benz telah memperlihatkan generasi terbaharu Mercedes-Benz GLE 2019 mendahului pelancaran rasmi yang bakal dilangsungkan di Paris Auto Show Oktober kelak.

Dibangunkan menggunakan platform Modular High Architecture (MHA), ia membolehkan Mercedes memuatkan lebih banyak ciri teknologi terkini pada SUV GLE ini berbanding model terdahulu.

Bahagian hadapan SUV ini menampilkan set lampu utama Multibeam LED dengan ciri suluhan tinggi Ultra Range dan jalur lampu nyalaan siang berkembar jenis LED, serta rekaan gril hadapan dan bumper hadapan yang direka semula.

Jarak antara roda telah dipanjangkan lagi sebanyak 80 mm membolehkan ruang kabin menerima tambahan ruang kaki sebanyak 69 mm, ruang kepala ditinggikan sebanyak 33 mm dan ruang kargo sebesar 825 liter sehingga maksimum 2055 liter apabila kerusi baris kedua dibaringkan.

Sistem infotainmen GLE menggunakan generasi terkini Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang terdiri daripada dua buah skrin besar bersaiz 12.3 inci sebagai ciri standard untuk kesemua varian.

Mercedes-Benz GLE 2019 bakal dijual di bawah varian GLE 450 4MATIC terlebih dahulu dengan enjin enam silinder sebaris 3.0 liter (326 hp/500 Nm) menampilkan sistem mild hibrid berkuasa 48 V dan fungsi EQ Boost yang memberikan kuasa ekstra 22 hp dan 250 Nm untuk daya pecutan tambahan.

Sistem 48 V ini juga turut diluaskan penggunaannya kepada ciri E-Active Body Control yang mampu mengawal keempat-empat sudut sistem suspensi udara supaya lebih selesa dan lincah, dan dalam masa yang sama mengurangkan kadar olengan badan kenderaan terutama ketika mengharungi permukaan jalan yang pelbagai.

Menurut Mercedes-Benz lagi, varian lain bakal menyusul dengan penawaran enjin petrol enam dan lapan silinder, enjin diesel serta varian plug-in hybrid.

Kesemua varian GLE bakal dilengkapkan dengan penawaran transmisi automatik 9G-TRONIC yang merangkumi transfer case dan klac berbilang cakera yang dikawal secara elektronik bagi memberikan pengedaran daya kilas yang seimbang antara gandar, ciri yang berguna ketika off-road.

Aspek keselamatan tidak dilupakan oleh Mercedes-Benz apabila mereka menyertakan ciri bantuan pemanduan terkini seperti Active Distance Assist Distronic, Active Stop-and-Go Assist, Active Steering Assist, Active Distance Assist, Active Brake Assist, dan Active Blind Sport Assist with exit warning.

Manakala ciri Trailer Manoeuvring Assist hanya akan ditawarkan di pasaran Eropah sahaja.

Mercedes-Benz GLE 2019 bakal memasuki pasaran Amerika dan Eropah bermula seawal 2019 dan pasaran China bermula musim luruh 2019.

This slideshow requires JavaScript.

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.