Berita Global Kereta Pelancaran

Mercedes-AMG A35 2019 rasmi dilancarkan – 302 hp/400 Nm, 0-100 km/j 4.7 saat!

Setelah mendedahkan beberapa imej acah hatchback pertama yang memakai lencana A35, Mercedes-AMG akhirnya bersedia untuk merancakkan lagi pasaran hot hatch dengan memperkenalkan A35 4MATIC secara rasmi.

Hatchback kompak lima pintu A35 ini merupakan model kelas permulaan untuk memasuki  keluarga prestasi AMG dengan ciri rupa luaran yang lebih agresif dan lebih garang,  menandakan ia sememangnya layak untuk dipanggil sebuah jentera AMG.

Mercedes-AMG A35 4MATIC ini dikuasakan oleh enjin petrol turbo 2.0 liter yang mampu menghamburkan kuasa setinggi 302 kuasa kuda (bermula dari putaran enjin 5,800 rpm) dengan tork maksimum 400 Nm yang masuk penuh bermula pada 3,000 rpm.

Kuasa tersebut kemudian disalurkan kepada dua buah gandar menerusi transmisi automatik tujuh nisbah kelajuan kepada sistem pacuan semua roda 4MATIC.

Terima kasih kepada gabungan sistem di atas, Mercedes-AMG A35 4MATIC ini mampu memecut dari pegun sepantas 4.7 saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j dengan kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.

Bagi membantu memberhentikan pesaing Volkswagen Golf R ini dengan lebih berkesan, jurutera AMG telah melengkapkan A35 dengan brek cakera bersaiz 350 mm hadapan dan 330 mm di bahagian belakang sebelum diakhiri dengan penggunaan angkup brek berwarna perak yang dihiasi dengan huruf AMG.

Bukan setakat itu, para jurutera juga telah menambah baik casis untuk memberikan kadar ketegaran yang lebih dengan nisbah pembahagian berat 50:50 dan nisbah gear DCT 7G yang memberikan respon pendikit yang lebih baik.

Secara kasarnya, A35 membawakan mod pemanduan yang ada pada model A-Class seperti Comfort, Sport, Sport+ dan tetapan Individual dengan tambahan mod “Slippery” yang dikhususkan untuk pemanduan di jalan yang licin.

Pemilihan mod “Slippery” ini akan menghadkan penghantaran kuasa daripada enjin dan memberikan lengkok kuasa daya kilas yang sekata untuk meningkatkan kestabilan kenderaan.

Mercedes-AMG bakal memperkenalkan A35 4MATIC secara rasmi bermula 2 Oktober di Paris Motor Show 2018 dan tempahan akan dibuka bermula bulan yang sama.

Fasa penghantaran kepada pelanggan dijangka akan bermula pada Januari 2019.

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.