Berita Global Informasi

Mazda lengkapkan restorasi pertama spesifikasi kilang Mazda Roadster NA

Ini bukan kali pertama syarikat pengeluar mengadakan program restorasi bagi mengembalikan keadaan kereta pengguna kepada spesifikasi kilang, terutama bagi kereta yang mendatangkan memori nostalgia kepada para pemiliknya.

Mazda baru-baru ini baharu sahaja selesai menyiapkan sebuah projek restorasi yang dilakukan terhadap sebuah Mazda Roadster generasi NA (MX-5 NA) yang diproduksikan pada tahun 1989 kepada spesifikasi asal kilang.

Program restorasi ini sebenarnya bermula pada tahun 2017 bagi membantu para pemilik Roadster NA ini mengembalikan keadaan kepada asal selain daripada memproduksikan semula alat ganti yang telah dihentikan pengeluarannya untuk kereta ini.

Sehingga akhir 2017, Mazda telah menerima lebih daripada 600 permohonan restorasi dengan projek pertama dimulakan pada Jun 2018 dan berakhir pada Ogos yang lalu.

Sebagai menghargai sokongan terhadap Mazda, mereka telah menjemput pemilik kereta pertama ini, Keiji Nishimoto dan isterinya ke kilang Mazda untuk menerima sendiri kunci daripada pihak Mazda, selain dibawa melawat ke dalam kawasan kilang.

Mazda Roadster bertuah ini merupakan model produksi tahun 1992 V Special, edisi khas yang hadir dengan tombol gear dan stereng Nardi dan menurut pemiliknya, beliau berhasrat untuk melakukan projek restorasi kepada Roadster tersebut sehinggalah beliau ternampak iklan yang diterbitkan oleh Mazda.

Pada mulanya, beliau agak terkejut kerana keretanya yang berusia 26 tahun itu merupakan yang pertama dipilih oleh Mazda dan kereta tersebut telah memberikan pengalaman pemilikan yang terbaik kepada beliau.

Ketika ditanya apakah perancangan beliau seterusnya, Nishimoto menjawab, “saya akan terus memandu (Roadster) ini untuk tempoh 25 tahun lagi!”

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.