Berita Global Kereta

Mazda CX-5 2019 bakal terima enjin 2.5 liter turbo, ciri G-Vectoring Control Plus

Menurut satu dokumen dalaman Mazda cawangan Kanada yang terbocor ke laman sosial Reddit, Mazda CX-5 2019 dijangka bakal menerima kemas kini berupa enjin baharu empat silinder 2.5 liter turbo serta ciri G-Vectoring Control Plus sebagai ciri standard untuk kesemua varian.

Selain daripada itu, sistem infotainmen Mazda juga bakal menerima fungsi integrasi sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto bagi memudahkan para pengguna menyambungkan fungsi kegemaran mereka kepada kenderaan.

Seperti yang disebutkan di atas, ciri G-Vectoring Control hadir dengan tambahan frasa “Plus”, memberikan bayangan Mazda telah menambah baik sistem GVC ini kepada sistem sedia ada menjadikan pemanduan lebih menyeronokkan tanpa memenatkan badan.

Varian terendah CX-5 bakal menerima rim aloi bersaiz 17 inci dengan kemasan kelabu gelap metalik, manakala varian tertinggi pula menerima pilihan enjin Skyactiv-G 2.5 liter turbo, rim aloi 19 inci berwarna silver metalik serta paparan LCD bersaiz 7 inci menggantikan kluster meter di bahagian papan pemuka.

Untuk pasaran Malaysia pula, sama-sama kita nantikan apakah perubahan yang bakal dibawakan oleh Mazda untuk crossover kompak CX-5 ini.

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.