Berita Global

Makan, kerja, rehat dan tidur dalam Volvo 360c Autonomous Concept

Bagi mereka yang gemar berjalan jauh, ia sebenarnya suatu perkara yang memenatkan terutama ketika kita mengejar masa dan menghabiskan tenaga menumpukan perhatian di atas jalan jauh.

Menerusi kereta konsep yang diperkenalkan oleh Volvo, ia bertujuan untuk menyelesaikan masalah di atas dengan menjadikan perjalanan anda lebih selesa dan tidak memenatkan, bahkan anda boleh berehat dan tidur di dalam kereta ini ketika sedang menuju ke sesebuah destinasi.

Memperkenalkan Volvo 360c Autonomous Concept, kereta konsep yang menggabungkan elemen bilik hotel, ruang tamu, ruang kerja dan kereta di dalam satu binaan yang serba futuristik.

Menurut bos Volvo, Hakan Samuelsson, kereta konsep 360c ini bakal mendefinisikan semula bagaimana manusia mampu untuk bergerak dengan selesa dan selamat di samping tidak memenatkan tubuh badan.

Tambah beliau lagi, dengan ciri pemanduan pintar (tiada pilihan stereng ditawarkan) yang diberikan, ia mampu membuka ruang baharu untuk menjalankan perniagaan mereka tersendiri dan membolehkan pengguna melakukan apa sahaja yang mereka mahukan di dalam sebuah kereta.

Volvo 360c sebenarnya disasarkan untuk para pelanggan yang kerap kali berjalan menggunakan penerbangan jarak dekat (lingkungan jarak 300 km) dan dalam masa yang sama mengelakkan pemeriksaan keselamatan yang ketat ketika di lapangan terbang.

Menurut Marten Levenstam, eksekutif Volvo berkata, “penerbangan domestik tampak gah, tapi sebenarnya tidak. Oleh sebab itu kami mendatangkan konsep Volvo 360c ini buat anda.”

“Dengan rekaan kabin yang mesra pengguna, ia membolehkan pengguna menikmati keselesaan yang premium setanding dengan kualiti penerbangan, tidur dengan tenang dan bangun dalam keadaan yang menyegarkan. Tidak mustahil kami (Volvo) mampu bersaing dengan khidmat penerbangan suatu hari nanti,” tambah beliau.

0 Shares

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.