Berita Global

Kelas Hypercar ganti LMP1 dalam WEC – bos Koenigsegg tunjuk minat untuk bersaing

FIA sebelum ini telah menetapkan peraturan baharu di dalam World Endurance Championship bagi membenarkan penyertaan hypercar di dalam perlumbaan kelas tertinggi kejuaraan berprestij itu, termasuklah di perlumbaan 24 jam Le Mans.

Regulasi kelas baharu ini dikatakan menarik perhatian banyak pengeluar termasuklah Toyota, Ford, Ferrari, McLaren dan juga Aston Martin.

Memandangkan istilah hypercar telah disebut-sebut, bos Koenigsegg, Christioan von Koenigsegg mengakui beliau amat tertarik untuk turut serta di dalam kelas hypercar pada kejuaraan WEC.

“Walaupun peraturan kelas hypercar ini masih tidak dimuktamadkan, kami berharap agar dapat berpeluang untuk turut serta dan berlumba bersama-sama pesaing yang lain,” ujar beliau lagi.

Dengan minat yang ditunjukkan oleh syarikat pengeluar daripada Sweeden itu, ia masih belum dipastikan model keluaran yang mana perlu mereka tampilkan di dalam kelas hypercar baharu itu.

“Dengar khabar, ia bakal mensyaratkan sistem pacu kuasa hibrid, dan kami (Koenigsegg) mungkin sekali akan menampilkan Regera, oleh kerana pengganti Agera bukanlah sebuah supercar hibrid.

“Apa pun regulasi yang bakal dimuktamadkan, kita tunggu dan lihat!” tambah beliau.

Sebelum ini Koenigsegg pernah membina sebuah CCGT yang menggunakan asas daripada Koenigsegg CCX untuk bertanding di dalam kelas GT1 perlumbaan 24 jam Le Mans.

Namun begitu, sebelum sempat CCGT disiapkan, FIA dikatakan telah mengharamkan penggunaan casis monocoque gentian karbon daripada penyertaan dan menaikkan had minimum produksi daripada 20 kepada 350 unit setahun – sesuatu yang tidak mampu dicapai oleh Koenigsegg pada ketika itu – sekaligus menghalang penyertaan mereka di dalam perlumbaan tersebut.

Sumber gambar: Marco Van Overbeeke

0 Shares

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.