Berita Global Kereta

Honda City 2019 bakal ditawarkan varian enjin petrol, diesel dan mild-hibrid 48V

Honda dikatakan sedang memulakan projek pembangunan generasi terbaharu sedan segmen B Honda City bagi model 2019 dengan pakej penggayaan yang lebih tajam berbanding generasi City masa kini, menurut laporan yang dipetik daripada Autocar India.

Walaupun info yang kedengaran masih kesamaran, salah satu varian enjin yang bakal ditawarkan adalah versi mild-hybrid 48V sebagai alternatif kepada model City Hybrid (lebih dikenali dengan nama City Sport Hybrid untuk pasaran Malaysia) yang mahal untuk dibangunkan.

Laporan tersebut antara lain menyebut Honda mengambil inspirasi daripada penggayaan Honda Civic FC untuk diterapkan ke dalam pembangunan Honda City menjadikan ia sebuah kereta sedan sporty yang mampu milik.

City Sport Hybrid untuk pasaran Malaysia

Merujuk kepada peraturan pelepasan emisi yang semakin ketat BS-VI (Bharat stage emission standards yang ke-lima), Honda juga bakal memperkenalkan varian enjin diesel CVT yang dikatakan lebih mesra alam dan memberikan lebih banyak pilihan sistem pacuan kuasa kepada para pembeli.

Ini juga merupakan salah satu pelan perancangan Honda India bagi mempersiapkan diri untuk menghadapi saingan daripada model diesel seperti Hyundai Verna diesel dan juga Maruti Suzuki Ciaz diesel.

Laporan sebelum ini pernah menyebut Honda bakal membawa masuk enjin 1.0 liter VTEC turbo serta varian yang turut dilengkapi sistem mild-hybrid berkuasa 48V ke pasaran India untuk memenuhi tuntutan pelepasan emisi di sana yang bakal berkuat kuasa di seluruh India bermula tahun 2020.

Untuk pasaran Malaysia (dan Asia Tenggara amnya), adakah generasi City seterusnya bakal memperlihatkan teknologi yang serupa?

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.