Berita Global Kereta

Honda bikin kit badan Neo Classic untuk S660

Untuk seketika, penulis terpaksa melakukan carian ringkas bagi mengingatkan semula bagaimana rupa asal kereta kei sports dari Honda ini, iaitu Honda S660.

Ini kerana rupa bentuk kit badan Neo Classic yang ditawarkan oleh Honda Jepun ini telah menukar rupa bentuk asal Honda S660 yang garang dan comel itu kepada bentuk yang lebih comel, persis Kancil dengan lampu utama berbentuk bulat.

Apa yang pasti, warga Jepun sememangnya kaya dengan idea yang pelik dan unik bagi mempelbagaikan rupa bentuk kenderaan buatan mereka, baik dari segi penawaran rim yang pelbagai sehinggalah kepada kit badan kustom.

Setelah dua tahun berlalu sejak pertama kali dipertontonkan kepada umum pada Tokyo Auto Salon 2016, Honda akhirnya membuat keputusan untuk menjual kit badan Neo Classic bagi roadster mini keluaran mereka, iaitu S660.

Tidak sukar untuk meneka daripada mana idea kit badan Neo Classic ini diinspirasikan kerana ia sememangnya direka berdasarkan kereta klasik N600 dan kei car terbaharu N-One bagi memberikan imej retro moden kepada kereta sports mini S660 itu.

Kit badan Neo Classic ini merangkumi beberapa panel yang mengubah rupa keseluruhan kei car S660 ini, terima kasih kepada lampu utama dan lampu belakang yang berbentuk bulat, bumper, fender, gril serta bonet yang diperbuat daripada plastik diperkuat gentian kaca (fiberglass-reinforced plastic, FRP).

Honda menyerahkan sepenuhnya idea kustom kepada para pelanggan dengan membiarkan kit badan Neo Classic ini tanpa sebarang penawaran cat.

Kit badan Neo Classic ini bakal ditawarkan di pasaran Jepun pada harga bermula dari ¥1,296,000 (RM48k++) dan paling penting, anda perlu memiliki sebuah Honda S660 terlebih dahulu sebelum membeli kit badan yang mahal ini.

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.