Berita Global Teknologi

Grab, Uber didenda S$13 juta kerana naikkan kadar tambang perjalanan di Singapura

Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (Competition and Consumer Commission of Singapore, CCCS) telah mendenda syarikat ride-hailing Grab dan Uber akibat penggabungan syarikat yang mendatangkan persaingan yang tidak sihat dalam industri perkongsian kenderaan (ride-hailing) di Singapura.

Uber dan Grab masing-masing dikenakan penalti berjumlah S$6.58 juta (RM20 juta) dan S$6.42 juta (RM19.4 juta) bagi mencegah persaingan yang tidak sihat di kalangan pengoperasi ride-hailing.

Grab sebelum ini telah mengumumkan penyerapan operasi Uber di Asia Tenggara pada 26 Mac dan pada hari berikutnya CCCS telah melancarkan penyiasatan bertujuan untuk mengkaji transaksi yang dibuat oleh Grab di bawah undang-undang anti-monopoli.

Menurut laporan, Grab didapati telah menaikkan kadar tambang perjalanan sebanyak 10-15 peratus setelah proses pengambilalihan Uber dilakukan.

Selain daripada itu, Grab juga telah mengubah beberapa tetapan program kesetiaan GrabRewards di mana mata yang dikumpul berkurangan untuk setiap dollar yang dibelanjakan, termasuklah kekerapan promosi dan insentif yang diberikan kepada para pemandu.

Suruhanjaya tersebut mengarahkan Grab melaksanakan semula algorithm tambang yang terdahulu serta kadar komisyen yang ditetapkan kepada pemandu sebelum penggabungan Grab-Uber dilaksanakan.

Manakala Uber pula perlu menjual semula kenderaan di bawah kelolaan Lion City Rentals kepada mana-mana pengusaha ride-hailing yang menawarkan kadar tambang yang berpatutan.

“Langkah ini dibuat bagi melindungi para penumpang daripada kenaikan kadar tambang yang melampau dan para pemandu terhadap kadar komisyen yang perlu mereka bayar kepada Grab,” ujar wakil CCCS.

Menurut Toh Han Li, ketua eksekutif CCCS berkata mereka membantah secara keras mana-mana usaha penggabungan operasi yang menyebabkan persaingan tidak sihat, merujuk kepada tindakan Grab yang secara langsung memberikan mudarat kepada para pemandu dan pengguna aplikasi ride-hailing di Singapura.

“Syarikat perlu terus berinovasi untuk kekal relevan di dalam pasaran, bukan menerusi penggabungan yang tidak mendatangkan persaingan yang sihat,” tambah beliau.

Sumber berita: Channel News Asia

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.