Berita Global Kereta

GM bangunkan pengecas pantas – 10 minit mampu beri jarak pengoperasian hampir 300 km!

Walaupun sudah banyak pengeluar yang berhasrat untuk menghasilkan kenderaan elektrik mereka tersendiri, terdapat satu perkara besar yang masih menghalang penggunaan secara meluas di kalangan para pengguna.

Di kala beberapa buah model EV terkini sudah mampu mencapai jarak pengoperasian melebihi 320 km untuk sekali pengecasan penuh, ia masih memerlukan purata masa kira-kira 9 jam untuk mencapai kapasiti penuh bateri jika menggunakan slot kuasa 240 V yang biasa kita gunakan di rumah.

Sebagai perbandingan, Nissan Leaf memerlukan masa kira-kira 7.5 jam untuk mencapai kapasiti penuh bateri dengan menggunakan slot kuasa 220 voltan.

Dengan penggunaan pengecas pantas sekalipun, ia masih tidak begitu efektif sekiranya dibandingkan dengan pengisian bahan api konvensional masa kini, sekaligus tidak begitu diminati oleh para pengguna.

Oleh sebab itu, General Motors berazam untuk mengatasi masalah sela masa yang begitu lama itu dengan menghasilkan sebuah sistem pengecasan ultra-pantas yang dibangunkan bersama Delta Americas.

Sedikit info yang didedahkan kepada umum, sistem pengecasan pantas baharu ini mampu memberikan jarak pengoperasian sejauh 290 km di dalam masa kurang daripada 10 minit, lebih baik berbanding teknologi yang ada pada Porsche Taycan yang memberikan jarak sejauh 100 km dengan masa pengecasan yang diperlukan selama empat minit.

Dengan usaha yang dibangunkan oleh General Motors ini, diharapkan ia mampu memberikan sinar baharu kepada penggunaan kereta elektrik yang lebih meluas pada masa akan datang.

0 Shares

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.