Berita Global Trak

Ford Ranger Raptor ‘dilantik’ sebagai kenderaan pemulihan perlumbaan

Bagi membolehkan pasukan penyelamat di litar menyahut seruan dengan pantas, kenderaan pemulihan (recovery car) perlulah mempunyai kemampuan untuk bergerak ke arah lokasi dengan berkesan, serta kekuatan untuk menunda sebarang kenderaan yang terlibat ketika perlumbaan sedang berlangsung.

Buat pertama kalinya, Ford Performance memperlihatkan trak pikap Ford Ranger Raptor sebagai kenderaan pemulihan perlumbaan rasmi bagi kejuaraan Supercars serta beberapa perlumbaan rasmi yang lain.

Sebagai sebuah kenderaan pemulihan, ia telah dilengkapkan dengan corak livery badan yang serba unik serta mudah dikesan, bar lampu yang dipasang pada bumbung, peralatan komunikasi, transmitter pemasa Dorian bagi memudahkan mereka mengenal pasti lokasi dengan mudah serta beberapa peralatan tambahan yang lain.

Tiada sebarang perubahan teknikal dilakukan pada Ford Ranger Raptor ini, bermakna ia masih mampu menghamburkan kuasa setinggi 210 hp dan 500 Nm tork maksimum daripada enjin diesel turbo 2.0 liter sebelum kuasa tersebut disalurkan kepada empat buah roda menerusi transmisi automatik 10 nisbah kelajuan.

Menurut pengarah siri perlumbaan Supercars, Sean Seamer, pihaknya berasa amat bertuah kerana diberikan peluang untuk menggunakan Ranger terulung – Ford Ranger Raptor ini sebagai kenderaan pemulihan rasmi perlumbaan mereka.

Ketua unit pemulihan perlumbaan, Alastair Walker pula menyifatkan pemilihan Ford Ranger Raptor ini tepat pada masanya oleh kerana mereka memerlukan sebuah kenderaan yang mampu membawa pasukan penyelamat ke mana sahaja, termasuklah di dalam lumpur, laluan gravel dan kawasan berpasir.

Ford Ranger Raptor bakal memulakan khidmat pertamanya menerusi perlumbaan Rabble Club Sandown 500 minggu ini diikuti beberapa siri perlumbaan besar sepanjang musim 2018.

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.