Berita Global Elektrik

Ford F-Vision Future Truck – cubaan Ford saingi Tesla Semi

Menerusi acara Hannover Motor Show, Ford telah hadir dengan satu kejutan terbaru kepada umum dengan memperkenalkan sebuah trak swapandu konsep yang bergelar F-Vision Future Truck.

Mungkin ramai yang menyangka ia merupakan model masa hadapan bagi generasi F-150, namun Ford menafikan kenyataan tersebut dengan menyatakan ia sebuah trak semi masa hadapan.

Direka oleh Ford Otosan di Turki, F-Vision Future Truck ini menampilkan cermin windscreen separa bulat yang direka ‘masuk’ kemas kepada bahagian kepala trak tersebut.

Pada bahagian sisi kanan dan kiri hadapan, terdapat bukaan aliran udara yang memberikan kuasa penyejukan kepada brek hadapan dan dihiasi dengan lampu nyalaan siang jenis LED yang tirus.

Cermin sisi pula digantikan dengan penggunaan kamera, manakala pemegang pintu disembunyikan ke dalam badan pintu bagi mengurangkan rintangan angin yang bertindak ke atas badan trak semi ini.

Rekaan aerodinamik ini diteruskan kepada ruangan trailer kargo dengan ruangan arca tayar ditutup sepenuhnya sebelum dihiasi dengan beberapa ukiran panel, menjadikan ia lebih terkehadapan berbanding lori sedia ada di atas jalan.

F-Vision dikuasakan oleh tenaga elektrik sepenuhnya walaupun tidak dinyatakan secara terperinci jarak pengoperasian yang mampu dicapai, dan ia turut dilengkapkan dengan ciri swapandu semi-autonomous tahap ke-4.

Sekiranya ia menjadi kenyataan, F-Vision Future Truck ini bakal bersaing dengan trak kelas 8 berkuasa elektrik yang lain seperti Tesla Semi dan Nicola One.

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.