Berita Global Kereta

Ford F-150 dipanggil semula – risiko kebakaran berpunca dari pre-tensioner tiang B

National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA) antara agensi keselamatan yang paling aktif menyuarakan kempen panggil semula sekiranya terdapat perkara yang disyaki meragukan dan mampu mendatangkan bahaya kepada para pengguna.

Langkah yang mereka ambil sewajarnya kita puji kerana bukan sahaja ia mampu menyelamatkan lebih ramai nyawa daripada terkorban, ia juga menunjukkan peranan sesebuah agensi supaya bergerak lebih maju dan lancar berbanding sesetengah pejabat tanah dan daerah.

Terkini, agensi NHTSA mengumumkan kempen panggil semua melibatkan lebih 1.6 juta unit trak pikap F-150 yang dijual di Amerika Syarikat oleh kerana risiko kebakaran yang berpunca daripada tiang-B kenderaan tersebut.

Menurut NHTSA, kesemua trak pikap F-150 yang diproduksikan bermula dari 2015 sehingga sekarang dikatakan mampu mencetuskan percikan api daripada unit pre-tensioner tali pinggang keledar pada tiang B seterusnya menyebabkan kebakaran.

Sehingga kini, terdapat kira-kira 17 buah trak yang dilaporkan terjejas, termasuklah tiga buah trak yang musnah sama sekali di dalam kebakaran menurut laporan yang dipetik daripada NHTSA.

Menariknya sebelum kempen panggilan semula ini diumumkan, pengeluar Ford itu sendiri sudah menerima laporan berhubung kes yang dicatatkan, namun tidak dapat mengesan punca disebalik kejadian tersebut sehinggalah agensi NHTSA menghubungi mereka Jun lalu.

Agensi NHTSA membuka kertas siasatan bermula pada Ogos lalu setelah menerima laporan daripada lima pemilik yang berbeza berkenaan kes kebakaran trak pikap Ford F-150.

Dilaporkan sebanyak 1,619,112 buah trak pikap F-150 disyaki berisiko di pasaran Amerika sahaja, termasuklah 376,664 unit yang terjual di Kanada dan Mexico.

Ford bakal memanggil semula unit yang terjejas dengan menggantikan semula bahan insulasi yang terdapat pada tiang B dengan menggunakan bahan yang lebih tahan haba bagi membaluti bahagian tersebut.

Bermula dari 23 Ogos, kesemua trak pikap yang diproduksikan selepas tarikh itu dikatakan mempunyai tiang B yang dibaluti bahan insulasi serba baharu dan karpet daripada bahan kalis api.

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.