Berita Global Kereta

Euro NCAP – Suzuki Jimny sekadar peroleh tiga bintang sahaja

Suzuki Jimny baharu menjadi bualan hangat para peminat seluruh dunia dengan rekaan badan yang berkotak, kecil dan ia juga sebuah kenderaan berkeupayaan pacuan empat roda yang murah untuk dimiliki.

Namun, berdasarkan ujian pelanggaran semasa yang dijalankan oleh Euro NCAP, Suzuki Jimny hanya memperoleh penarafan tiga bintang daripada lima markah penuh.

Walaupun markah perlindungan bagi penumpang dewasa diperoleh memuaskan (73%), namun markah bagi perlindungan terhadap pejalan kaki pula menunjukkan keputusan sebaliknya apabila Jimny mendapat skor 52% sahaja, oleh kerana perlindungan yang lemah pada bahagian hadapan dan bonet.

Berdasarkan laporan Euro NCAP lagi, ujian pelanggaran offset menunjukkan sel penumpang mengalami deformasi yang teruk ketika dan pemandu mempunyai kecenderungan untuk terhantuk pada stereng akibat kurang perlindungan daripada beg udara itu sendiri.

Sebahagian daripada papan pemuka dan instrumen juga menjadi asbab kepada kecederaan bagi penumpang hadapan.

Manakala bagi bantuan keselamatan, Jimny hanya memperoleh 50% sahaja akibat skor yang tidak cemerlang pada bantuan pengekalan laluan.

Berita baharu berkenaan Suzuki Jimny ini mungkin sekali akan dipandang remeh, memandangkan kebanyakan daripada para pemiliknya mungkin akan menghabiskan masa meneroka jalan off-road luar bandar sambil mengutip buah durian yang gugur.

Memandangkan Suzuki sudah menghentikan penjualan kenderaan mereka di pasaran Malaysia, peluang untuk mendapatkan Suzuki Jimny sebenarnya amat tipis, melainkan terdapat pengimport atau pengedar persendirian yang sanggup membawa masuk model ini.

Laporan penuh ujian pelanggaran Euro NCAP boleh dibaca menerusi pautan di bawah.

Official Suzuki Jimny Safety Rating – 3 Star Euro NCAP

Laporan penuh Ujian Pelanggaran Suzuki Jimny Euro NCAP (pdf)

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.