Berita Global Elektrik

Enjin Rotary sebagai unit range-extender – rotor tunggal, saiz umpama kotak kasut

Sejak daripada dahulu, Mazda tidak pernah berputus asa untuk menambah baik teknologi enjin pembakaran dalaman yang mereka ada demi memastikan enjin mereka kekal rasional merentasi peredaran zaman.

SkyActiv-G sebagai contoh, menampilkan nisbah mampatan enjin paling tinggi di dunia bagi enjin petrol pembakaran dalaman, iaitu 14.0:1 yang membolehkan kenderaan Mazda mencapai tahap penjimatan bahan api yang lebih berkesan.

Sejarah enjin Wankel atau lebih senang digelar sebagai enjin Rotary bermula sejak zaman Mazda Cosmo generasi pertama dengan kod enjin L8A dua rotor bersesaran 798 cc.

Sejak daripada itu, enjin Wankel terus berevolusi dan ditambah baik oleh Mazda menerusi 13A, 13B sehinggalah generasi terakhir Wankel 13B-MSP Renesis aspirasi natural yang digunakan oleh Mazda RX-8 yang ditamatkan pengeluarannya pada 2012.

Jika sebelum ini enjin Rotary lebih dikenali sebagai enjin pelahap bahan api dan pencemar alam sekitar berbanding enjin konvensional empat silinder, Mazda dilihat cuba membangkitkan semula enjin Rotary dengan kegunaan yang lebih mesra alam.

Menerusi pendaftaran paten yang dibuat di Japan Patent Office pada 31 Ogos yang lalu, Mazda dilihat menawarkan pakej enjin rotary yang lebih menarik sebagai unit penambah jarak (range-extender) pada kenderaan elektrik (EV).

Oleh kerana dimensi enjin rotary yang kompak, Mazda melihat kelebihan ini sebagai satu peluang untuk menjadikannya sebagai sebuah unit penambah jarak yang diletakkan secara melintang di bawah ruang kargo belakang (bertentangan dengan posisi sebenar enjin Rotary).

Antara masalah utama enjin jenis Wankel ini ialah ia memerlukan pelinciran yang berkesan bagi membolehkan rotor bergerak di dalam perumah rotor dengan lebih berkesan, dan Mazda mendakwa posisi yang baharu ini membolehkan sistem pelinciran lebih baik berbanding mekanisme dalam enjin Wankel yang terdahulu.

Menerusi poin 31 (lihat gambar rajah), pelincir akan disuntik pada bahagian atas perumah rotor sebelum bahan pelincir mengalir ke dalam dan membantu pergerakan rotor menjadi lebih lancar.

Bagi mengelakkan saiz enjin menjadi masalah kepada ruang kargo di bahagian belakang kenderaan, Martijn ten Brink, Naib Presiden Jualan dan Khidmat Pelanggan Mazda Eropah mengatakan unit penambah jarak Rotary ini akan dibina sebagai enjin rotor tunggal dan tiada sebarang induksi pendesak turbo bakal dipasang.

Tambah beliau, unit ini akan diposisikan sebawah yang mungkin untuk menjadikan titik graviti kenderaan kekal rendah dan ia bakal bersaiz “sebuah kotak kasut” untuk memaksimumkan penggunaan ruang.

Sumber: Motor1

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.