Berita Global Elektrik Kereta

Aston Martin Rapide E – sedan sports berkuasa elektrik 602 hp, 950 Nm!

Aston Martin mendedahkan info tambahan berkenaan kereta empat pintu berkuasa elektrik Rapide E yang dikatakan bakal memasuki fasa produksi tidak lama lagi.

Produksi yang dihadkan kepada 155 unit sahaja itu bakal menampilkan teknologi seni bina elektrik termaju daripada Aston Martin berkuasa 800 Voltan dan pek bateri berkapasiti 65 kWh.

Kuasa daripada pek bateri tersebut disalurkan kepada dua buah motor elektrik yang dipasang pada gandar belakang memberikan kuasa setinggi 602 hp dan 950 Nm tork maksimum, membolehkan Rapide E memecut 0-100 km/j dengan pantas hanya dalam masa kurang empat saat sahaja.

Seperti yang disebut pada perenggan di atas, sistem elektrik 800 Voltan Aston Martin Rapide E mampu disesuaikan dengan pusat pengecasan berkuasa 100 kW (atau lebih tinggi) dengan kadar pengecasan yang mampu memberikan jarak hampir 500 km untuk sejam.

Manakala unit pengecasan pantas berkuasa 50 kW pula dikatakan mampu memberikan jarak hampir 300 km di dalam masa sejam.

Pun begitu, menurut Aston Martin, jarak pengoperasian yang dicatatkan menurut ujian WLTP mampu memberikan jarak sejauh 322 km untuk sekali pengecasan penuh, terima kasih kepada sistem penyejukan bateri yang berkesan memastikan prestasi yang cemerlang hasil usahasama Aston Martin bersama Williams Advanced Engineering.

Pengedaran kuasa yang cemerlang tersebut turut disumbang oleh penggunaan bahan serba ringan seperti aloi dan komposit karbon, serta aspek aerodinamik yang telah ditambah baik membolehkan Aston Martin Rapide E mampu mengelilingi litar Nurburgring tanpa sebarang kehilangan kuasa daripada sistem pacukuasa elektriknya.

Bagi mengurangkan rintangan dan kebisingan menyelinap ke dalam kabin, Aston Martin melengkapkan Rapide E ini dengan tayar Pirelli P Zero pada keempat-empat sudut arca roda.

Pihak Aston Martin bakal memulakan produksi Rapide E di kilang pemasangan baharu yang terletak di St. Athan dengan penghantaran unit pertama kepada pelanggan disasarkan pada suku keempat 2019.

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.