Berita Global Kereta

Adakah ini Mitsubishi Galant generasi baharu?

Mitsubishi suatu ketika dahulu gah dengan penawaran model sedan di dalam barisan penjualan kenderaan mereka seperti Mitsubishi Galant dan Mitsubishi Lancer yang lebih banyak menguasai jalanan.

Malah, nama Mitsubishi juga meniti di bibir para peminat sukan permotoran pada waktu itu oleh kerana pengaruh yang dibawakan oleh model sedan sport Lancer Evolution sebelum ia dihentikan pengeluarannya menerusi model terakhir Evolution X.

Setelah daripada itu, model sedan seperti Lancer sudah jarang kelihatan di atas jalan, hanya di pasaran Taiwan mereka masih menjual model tersebut menggunakan nama Grand Lancer.

Proton Perdana merupakan model rebadge daripada Galant Eterna

Model yang lebih besar iaitu Galant sudah lama dihentikan pengeluarannya pada tahun 2012 menerusi model generasi kesembilan dan selepas daripada itu model sedan yang masih wujud dalam katalog Mitsubishi hanyalah Mitsubishi Attrage yang berasaskan Mirage hatchback.

Untuk terus kekal bersaing di dalam pasaran, Mitsubishi nampaknya lebih senang meneruskan penjualan model crossover seperti Eclipse, ASX serta Outlander manakala untuk pasaran Asia, Mitsubishi Xpander nampaknya lebih menyerlah.

Bagaimana sekiranya Mitsubishi ingin menggunapakai kembali nama Galant pada masa akan datang?

pengaruh Dynamic Shield diteruskan pada penggayaan sedan ini

Seorang artis telah menggambarkan imej impresi sedan yang dihasilkan menggunakan bantuan komputer yang menunjukkan bagaimana Galant bakal mengambil bentuk sekiranya ia dibangunkan semula menerusi kerjasama pakatan Nissan-Mitsubishi-Renault.

Siri imej rendering yang diterbitkan oleh Enoch Gabriel Gonzales menerusi laman web Behance telah memperlihatkan konsep Mitsubishi Galant 2020 dengan menambah rekaan terkini Mitsubishi iaitu Dynamic Shield pada muka hadapan “Galant 2020” ini sebelum diakhiri dengan lampu utama yang dipengaruhi daripada Mitsubishi Outlander.

Rekaan tajam tersebut diteruskan pada lampu belakang serta ukiran ala Dynamic Shield menghiasi ruang boot belakang, manakala bahagian sisi pula tampil dengan rekaan garisan badan yang serba kemas.

Untuk kembali menguasai pasaran sedan nampaknya agak mustahil bagi Mitsubishi oleh kerana mereka kini lebih kuat menguasai pasaran crossover dan LMPV (di Asia).

Namun, mungkin suatu hari nanti mereka tampil dengan sedan Galant berkuasa elektrik, siapa sangka?

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.