Berita Domestik

Perodua lancar MPV Alza dengan kemaskini ciri terkini – harga bermula dari RM51k

Perodua secara rasminya telah memperkenalkan MPV tujuh tempat duduk paling mampu milik Alza dengan wajah baharu ke pasaran Malaysia.

Menurut Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Dato’ Dr Zahari Husin berkata, “Perodua Alza terbaharu kami ini masih lagi menawarkan keselesaan, praktikaliti, fleksibiliti dan ruang yang cukup untuk tujuh orang – menjadikan ianya MPV yang digemari dan menjadi pilihan rakyat Malaysia selama hampir sedekad.”

“Dengan ruang simpanan yang banyak serta konfigurasi tempat duduk yang fleksibel, Alza terbaharu ini sesuai untuk aktiviti keluarga dan penggunaan harian seiring dengan kata jenamanya ‘Sehebat Anda,’” katanya.

Sehingga kini terdapat lebih daripada 344,200 unit Alza telah dijual sejak pengenalan pertama model itu pada tahun 2009.

Ciri-ciri yang baharu dalam kesemua varian antaranya grafik panel instrumen dan kluster tengah yang direka semula, serta kunci kawalan jauh two-motion (tekan sekali untuk membuka pintu pemandu, tekan dua kali untuk membuka kesemua pintu).

Aliran penyaman udara ke barisan tempat duduk ketiga bertambah baik dengan adanya ciri baharu termasuk sirip tetap yang terletak di antara corong udara tengah hadapan serta penambahbaikan kepada sistem penyejatan dan saluran pertukaran haba.

Semua varian dilengkapi dengan lampu kabus depan, spoiler belakang, stereng kulit, filem tingkap keselamatan dan solar, sensor belakang dan aloi 15 inci dengan kemasan warna perak pada varian Standard dan titanium pada varian SE dan Advance.

Berikut merupakan perincian bagi setiap varian Alza yang dilancarkan:

Standard

Lampu kabus hadapan
Spoiler belakang
Stereng balutan kulit
Filem solar dan keselamatan tingkap
Rim aloi 15 inci kemasan perak
Sistem audio dengan USB dan Bluetooth
Rekaan panel meter baharu
Kunci kawalan jauh two-motion
Tempat duduk fabrik
2 beg udara
Cagak ISOFIX (baris kedua)
ABS, EBD, Brake Assist

 

SE

(tambahan kepada ciri di atas)
Bumper hadapan rekaan baharu
Gril hadapan rekaan baharu
Skirt sisi
Bumper belakang rekaan baharu
Rim aloi 15 inci kemasan titanium
Tempat duduk fabrik bergred tinggi
Cangkuk ‘teh tarik’
Sensor pada sudut hadapan

 

Advance

(tambahan kepada ciri SE)
Sistem multimedia skrin sentuh Android
Fungsi Smart Link, Bluetooth, navigasi
Paparan kamera undur
Tempat duduk balutan kulit
Monitor roof-mounted untuk penumpang belakang

 

Aksesori Gear Up

 

Kit badan
Pembalut tempat duduk corak quilt
Pelindung sinaran matahari

Untuk ciri keselamatan, Perodua Alza baharu dilengkapi dengan dua beg udara hadapan, ABS dengan Pengedaran Kuasa Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (Brake Assist) dan poin ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak di barisan tengah, memberikan model ini penarafan keselamatan empat bintang oleh ASEAN NCAP.

“Tempahan Perodua Alza baharu kini dibuka, yang mana ia akan menemui anda di bilik pameran kami di seluruh negara secara berperingkat mulai 6hb September. Rasai pengalaman dengan memandu uji kenderaan kami dan penasihat jualan kami yang sah amat berbesar hati untuk membantu dan menjawab sebarang pertanyaan anda,” kata Dato’ Dr Zahari.

Perodua Alza baharu ditawarkan dengan waranti lima tahun/150,000km (yang mana terdahulu). Warna-warna yang terdapat pada Perodua Alza baharu adalah Granite Grey (warna baru dan eksklusif untuk varian SE dan Advance sahaja), Ivory White, Glittering Silver, Mystical Purple dan Electric Blue.

Perodua Alza Standard (MT) RM51,490
Perodua Alza Standard (AT) RM54,290
Perodua Alza SE (AT) RM56,890
Perodua Alza Advance (AT) RM62,690

Semua harga atas jalan (OTR) tanpa insurans untuk Semenanjung Malaysia

0 Shares

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.