Berita Domestik Pelancaran

Land Rover Discovery Sport dengan enjin Ingenium 2.0 liter – RM379,800 atas jalan

Jaguar Land Rover Malaysia telah memperkenalkan Land Rover Discovery Sport dengan varian enjin petrol baharu 2.0 liter Ingenium.

Enjin empat silinder berkuasa turbo twin-scroll ini mampu menghasilkan 240 PS dan daya kilas 340 Nm (1,250 rpm) sebelum digandingkan dengan transmisi ZF sembilan nisbah kelajuan dan sistem pacuan empat roda dengan keupayaan meredah pelbagai jenis muka bumi tanpa mengorbankan keselesaan.

Berkongsi rekaan yang serupa dengan Range Rover Evoque, binaan hadapan Discovery Sport ini menampilkan crossbeam magnesium yang ringan dan kukuh diikuti bahagian tiang-B yang unik dan kompak, serta casis aluminium yang serba ringan memberikan kabin yang kukuh untuk mengharungi jalan off-road dan ruang dalaman yang luas.

Sistem keselamatan Discovery Sport tampil dengan beberapa ciri seperti beg udara untuk penumpang hadapan, beg udara lutut, beg udara tirai sisi dan beg udara khusus untuk melindungi bahagian dada.

Sistem infotainmen InControl Touch yang hadir pada Discovery Sport ini mempunyai kelebihan kustomisasi seakan telefon pintar yang mana pengguna boleh mengubah suai antaramuka, menambah elemen widget dan juga menukar gambar wallpaper paparan.

Land Rover Discovery Sport versi pasaran Malaysia hadir dengan konfigurasi lima tempat duduk sebagai standard, dan ia boleh diubah tetapannya menjadi 5+2 sebagai pilihan.

Land Rover Discovery Sport 2018 dijual pada harga RM379,800 (tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans) serta hadir dengan jaminan lima tahun atau jarak perbatuan 150,000km (yang mana terdahulu), servis lima tahun atau 65,000 km dan Bantuan Tepi Jalan selama tiga tahun.

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.