Berita Domestik Informasi

Isu beg udara Takata – Honda seru para pemilik segera ambil tindakan!

Berikutan pengumuman yang telah dibuat menerusi sidang media Kementerian Pengangkutan tempoh hari, Honda Malaysia kini menyeru semua pemilik kenderaan yang terjejas akibat beg udara Takata supaya berbuat demikian dengan segera.

Pihak Honda Malaysia juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan kesemua pemilik mematuhi arahan yang telah berkuatkuasa serta merta.

Sehingga 20 September 2018, Honda telah melengkapkan hampir 90% (atau lebih daripada 236,800 unit) penukaran inflator beg udara hadapan bagi unit yang terjejas, dengan jumlah keseluruhan penggantian bagi inflator beg udara pemandu dan penumpang dicatatkan pada 496,400 unit (84%).

Menurut Honda lagi, kadar ketersediaan stok inflator beg udara kini mencapai 100% untuk kesemua model yang dibawa masuk oleh Honda Malaysia, termasuk stok untuk model import (parallel import) yang tidak dijual secara rasmi.

Sebarang kos penukaran ditanggung sepenuhnya oleh Honda Malaysia tanpa sebarang bayaran dikenakan kepada para pemilik.

Para pemilik boleh memeriksa status kenderaan mereka menerusi laman rasmi Honda di www.honda.com.my atau www.productrecall.honda.com.my atau menghubungi talian bebas toll Honda di 1-800-88-2020 atau berkunjung ke mana-mana pengedar sah Honda yang berhampiran.

Selain itu, Honda juga menyediakan booth sementara penggantian beg udara Mobile Hubs di pusat membeli belah dan stesen minyak Petronas yang terpilih, di mana para pelanggan tidak perlu membuat temujanji terlebih dahulu bagi melakukan penukaran unit yang terjejas.

Berikut merupakan senarai kenderaan dan tahun pengeluaran yang terjejas akibat isu beg udara Takata.

Model Kenderaan Tahun Produksi
Accord 2003-2012
City 2003-2013
Civic 2001-2012
Civic Type R 2007-2008, 2010
CR-V 2002-2011, 2013
Freed 2009-2012
Insight 2011-2013
Jazz 2003-2007, 2009-2013
Odyssey 2004-2008
Stream 2003-2005, 2007-2013

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.