Berita Domestik Terbaru Berita

BMW 6 Series Gran Turismo dilancarkan – kereta sporty dengan ciri praktikal, harga bermula dari RM450k!

BMW Malaysia hari ini telah memperkenalkan model pemasangan tempatan (CKD) daripada kilang di Kulim iaitu BMW 6 Series Gran Turismo (GT) dalam usaha untuk mengembangkan skala operasi dan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab BMW serantau.

Menurut Harald Hoelzl, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia berkata, “BMW 6 Series GT menambah satu lagi dimensi dan penawaran baharu dalam portfolio produk mewah, di samping ciri-ciri moden dan praktikal sekaligus tampil dengan definisi karakter yang tersendiri.”

Mari kita kupas enam perkara yang menarik pada model terbaharu BMW 6 Series GT varian 630i ini.

1. Rekaan luaran yang lebih sporty

BMW 6 Series GT hadir dengan rekaan badan fastback yang dimulakan dengan kehadiran lampu utama LED adaptif, garisan bonet yang panjang, rekaan bumbung penggayaan seakan coupe melandai ke belakang sebelum diakhiri dengan set lampu belakang jenis LED tiga dimensi.

Rekaan coupe ini menampakkan 6 Series lebih sporty ditambah lagi dengan jarak di antara roda berukuran 3,070 mm sebelum rim aloi ringan M double-spoke bersaiz 20 inci menghiasi ruang arca roda.

Menambahkan lagi imej sporty kereta ini ialah penggunaan pintu yang tidak berbingkai pada keempat-empat sudut.

2. Rangka badan EfficientLightWeight

Teknologi EfficientLightWeight yang dibangunkan oleh BMW memperlihatkan binaan casis yang serba ringan dan kuat, terima kasih kepada penggunaan bahan seperti aluminium dan keluli berkekuatan tinggi yang menyumbang kepada pengurangan 150 kg berbanding casis terdahulu.

Ia dizahirkan di dalam bentuk rekaan dalaman yang lebih lapang membolehkan ruang kaki dan ruang kepala yang lebih luas walaupun garisan bumbung sememangnya rendah, sementara ciri bumbung kaca Panoramik pula memberikan ilusi penggunaan ruang penumpang belakang yang lebih luas.

Teknologi casis serba baharu ini mampu memberikan ruang bagasi seluas 610 liter yang boleh dimaksimumkan kepada 1,800 liter sekiranya kerusi baris belakang dilipat sepenuhnya menggunakan suis elektronik, menjadikan ia sebuah kereta yang lebih praktikal untuk kegunaan seharian.

Jadi, tidak menghairankan sekiranya BMW 6 Series GT berjaya memenangi anugerah berprestij “EuroCar Body” pada tahun 2017 menerusi penggunaan teknologi casis EfficientLightWeight.

3. Sistem bantuan pemanduan

BMW turut hadir dengan ciri bantuan pemanduan yang terkini seperti amaran pertukaran laluan, bantuan pengekalan laluan, amaran pelanggaran dan pejalan kaki, sistem mitigasi pelanggaran dalam bandar, amaran lintasan trafik serta info had laju.

Ciri-ciri di atas memanfaatkan fungsi kamera berkembar, radar dan sensor ultrasonik yang membantu memantau persekitaran kereta ketika berada di atas jalan raya.

4. Pengendalian dinamik

Teknologi casis yang canggih tidak akan bermakna tanpa talaan terhadap dinamik pengendalian sesebuah kenderaan.

Di sini, BMW telah menambahbaik sistem pemanduan dengan mendatangkan sistem suspensi udara adaptif dibantu oleh fungsi Dynamic Damper Control yang membolehkan ketinggian yang boleh dikawal secara elektronik untuk keselesaan dan juga pengendalian yang lebih jitu, terutama ketika mengharungi jalan yang berliku mahupun memecut di lebuhraya.

BMW 6 Series GT juga menampilkan ciri yang membantu meningkatkan tahap aerodinamik seperti pengawal flap udara aktif, Air Curtains, Air Breathers dan spoiler belakang automatik (sekiranya kenderaan mencapai kelajuan 110 km/j) disamping mengurangkan kadar pekali seret (Cd) kepada 0.25, pengurangan berbanding model terdahulu (0.29).

5. Enjin generasi baharu

Nadi enjin TwinPower B48B20 2.0 liter yang didatangkan pada 6 Series GT ini mampu menghamburkan sejumlah 258 kuasa kuda dan mencapai puncak tork setinggi 400 Nm sebelum disalurkan kepada roda menerusi transmisi automatik ZF dengan lapan nisbah kelajuan.

Pecutan dari 0-100 km/j mampu dicapai sepantas 6.3 saat sebelum 6 Series GT ini mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

Walaupun dengan kuasa yang tinggi, kadar penggunaan bahan api pula mampu mencatatkan bacaan purata 6.6 liter untuk setiap perjalanan 100 km.

6. Sistem kawalan hiburan berorientasikan pemandu

Ruang kokpit pada BMW 6 Series GT ini telah direka semula bagi menghasilkan sebuah ruang kabin yang lebih mesra pemandu dan lengkap dengan fungsi-fungsi kritikal seperti maklumat semasa kenderaan, sistem navigasi, komunikasi dan juga hiburan.

Selain daripada paparan head-up generasi baharu, terdapat paparan informasi HD bersaiz 10.25 inci di bahagian tengah ini mampu diakses menerusi kawalan skrin sentuh, gesture tangan dan juga fungsi kawalan suara, sebelum diakhiri dengan rekaan papan pemuka Sensatec Leather, bahan fine wood Fineline Ridge, dan kemasan krom Pearl Gloss Chrome.

Seperti mana kenderaan BMW yang lain, BMW 6 Series GT juga tampil dengan ciri pembantu mobiliti peribadi digital BMW ConnectedDrive yang mampu memberikan akses maklumat kenderaan kepada pemandu menerusi aplikasi telefon pintar mereka.

BMW 6 Series GT didatangkan dengan empat warna pilihan termasuklah Alpine White, Bluestone, Carbon Black dan Sophisto Grey dengan pilihan warna dalaman Carbon Black dan Leather Dakota Cognac (untuk warna hitam dan kelabu sahaja).

Harga jualan di atas jalan bagi model BMW 6 Series GT model pemasangan tempatan ini bermula dari RM450,800.00 tidak termasuk insurans.

0 Shares

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.