Berita Domestik

Regal Motors buka pusat pameran 3S Proton baharu di Seksyen 13, PJ

Regal Motor Holdings Sdn Bhd telah melancarkan pusat pameran bertaraf 3S serba baharu yang dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong baru-baru ini.

Pusat pameran 3S yang sebelum ini berpusat di Jalan Klang Lama telah memindahkan keseluruhan operasi 3S  ke tempat baharu seluas 1.2 ekar bagi menyediakan kemudahan pelanggan yang lebih baik.

Dengan kedudukan yang strategik berhampiran dengan pusat komersil dan kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi, Philip How, Pengarah Urusan Regal Motor berharap agar dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada penduduk sekitar.

Berkonsepkan gaya hidup yang santai, para pelanggan juga turut disediakan ruang bekerja sementara yang menampilkan ruang pengecasan laptop serta sambungan Wi-Fi secara percuma sementara menunggu kenderaan diservis.

Pusat ini dilengkapi dengan 12 petak servis, enam tempat servis pengangkat dengan tambahan sebanyak enam buah lagi sekiranya terdapat permintaan tambahan.

Bagi mereka yang ingin berurusan dengan bahagian jualan, terdapat 13 orang penasihat jualan yang sedia untuk membantu para pelanggan mendapatkan kenderaan idaman mereka.

Manakala pusat sedia ada yang terletak di Sunway itu pula akan beroperasi secara berasingan sebagai pusat ketuk dan cat.

Menurut Philip, mereka mempersiapkan diri dengan menjangkakan kenaikan sebanyak 30-40% jumlah jualan, terutama menjelang kemasukan SUV baharu Proton tidak lama lagi, manakala jangkaan jumlah kenderaan yang diservis pula meningkat  sebanyak 60-70% berbanding jumlah sedia ada.

Sehingga kini, Proton secara keseluruhannya telah mencapai jumlah sasaran 88% penambahbaikan cawangan 3S dan 4S seluruh negara dengan sasaran sebanyak 109 pusat cawangan siap dinaik taraf menjelang Oktober.

Pada masa yang sama, Proton Ertiga Xtra, model kemas kini terbaharu turut dipamerkan kepada pelanggan seusai majlis pelancaran pusat pameran tersebut.

Model Ertiga Xtra telah menerima beberapa peningkatan hasil maklum balas daripada orang ramai seperti penggunaan tempat duduk yang gelap, skrin sentuh bersaiz 7 inci yang turut menampilkan ciri navigasi, pemain DVD, serta sambungan Bluetooth untuk kemudahan para pengguna.

Terdapat empat warna yang ditawarkan pada model kemaskini ini termasuklah Ruby Red, Carnelian Brown, Cotton White serta Metal Grey dengan harga jualan bermula dari RM56,773 untuk varian Executive (MT) sehinggalah RM62,278 untuk versi Premium (AT).

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web www.proton.com atau laman Facebook rasmi Proton di www.facebook.com/ProtonCarsOfficial, atau aplikasi mudah alih MyProton yang terdapat melalui Google Play dan Apple App Store.

0 Shares

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.