Berita Domestik Pelancaran

Proton lancar pusat pameran 3S di Jalan Kebun, Klang

Vantage Speed Sdn Bhd (Vantage Speed) telah merasmikan pembukaan cawangan 4S di Jalan Kebun, Klang. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton dan turut dihadiri oleh barisan Pengurusan Kanan Proton.

Vantage Speed telah beroperasi sebagai pengedar Proton sejak 2009 dan mengendalikan cawangan 1S dan 2S di lokasi berasingan. Walau bagaimanapun, demi memenuhi keperluan dari Proton yang bertujuan untuk memberikan kemudahan lebih baik kepada pelanggan sebagai pusat sehenti, pemegang saham Vantage Speed bersetuju untuk membuat pelaburan dalam perniagaannya itu sebagai sebuah pusat 4S.

Cawangan 2S yang pada asalnya milik Magnavision Sdn Bhd ditutup dan seluruh kawasan tersebut diubah suai menjadi pusat 4S yang baharu. Bagi cawangan 1S miliknya di Setia Alam pula dikekalkan bertujuan untuk terus memberi kemudahan kepada pelanggan sedia ada di sana.

Menurut Dato’ Sri Tee Boon Kee, Pengarah Vantage Speed, sebagai pengedar yang telah lama berkecimpung di dalam industri auto, keperluan untuk menyediakan servis yang baik dan cemerlang kepada pelanggan adalah satu kemestian. Apa yang penting adalah pelanggan suka berkunjung ke cawangan ini untuk membeli kereta. Sebaik sahaja mereka membeli kereta, mereka akan kembali kepada kami bagi perkhidmatan servis kereta. Walau bagaimanapun, mungkin sukar untuk kami mencapai tahap kepuasan pelanggan itu sekiranya kami tidak beroperasi sebagai pusat sehenti.

Beliau juga berkata sebagai sebuah cawangan 4S kami dapat berurusan dengan pelanggan secara lebih baik, dan dapat memahami keperluan mereka. Justeru, keputusan untuk beroperasi sebagai cawangan pengedar 4S sememangnya pilihan yang tepat.

Dengan kawasan seluas 2418 meter persegi, cawangan ini dilengkapi dengan 14 petak servis,10 ruangan ketuk dan cat serta ruang yang memuatkan sehingga 10 kenderaan di ruang pameran. Pelanggan turut selesa dengan ruangan tempat duduk yang luas, di mana memuatkan 80 tempat duduk untuk mereka.

Selain itu, sama seperti cawangan Proton yang lain, terdapat juga ruangan minuman, ruangan kanak-kanak, WIFI percuma dan kawasan istirahat pelanggan yang selesa untuk mereka berehat sambil menunggu kereta mereka diservis.

Dato’ Sri Tee menambah, “Cawangan ini terletak di kawasan padat penduduk di Klang, dan mereka juga telah tahu akan kewujudan cawangan ini. Kawasan ini turut mempunyai pemilik Proton yang ramai dan mereka adalah sasaran pasaran yang tepat untuk kami menaik taraf untuk barisan kereta Proton yang baharu dan lebih menarik”. Di samping itu, cawangan ini juga mempunyai kakitangan yang berdedikasi untuk memenuhi permintaan pelanggan. Kami menjangkakan peningkatan jualan dan servis lebih daripada 50%, ujar beliau lagi.

Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton sangat positif dengan perkembangan yang berlaku di dalam Syarikat.”Saya gembira penambahbaikan cawangan berjalan seperti yang dirancang. Proton berada dalam kedudukan yang sangat baik untuk membuktikan semula kehadirannya di pasaran. Kami yakin kami dapat mencapai peningkatan kelulusan sebanyak 109 cawangan menjelang bulan Oktober, atau mungkin lebih awal dari yang dijangkakan.”

Bagi minggu ini sahaja, syarikat telah menyaksikan dua daripada cawangannya, Chan Sow Lin dan Puchong dinaik taraf dengan penampilan yang lebih segar selaras dengan pelan perniagaan Proton untuk mengubah semua rangkaian cawangannya bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan. Chan Sow Lin merupakan cawangan 4S Proton, sementara Puchong adalah cawangan bertaraf 1S kata beliau lagi.

0 Shares

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.