Berita Domestik

Produksi Myvi terjejas – Perodua tawar rebat kepada 3,100 pelanggan terjejas

Berikutan siaran media yang diedarkan oleh Perodua mengenai gangguan sementara pengeluaran Myvi baru pada 20hb Ogos lalu, syarikat pengeluar kenderaan kompak tersebut akan menawarkan rebat tunai sebagai pampasan kepada baki 3,100 pelanggan yang sepatutnya menerima Myvi mereka sebelum 1hb September.

“Kakitangan kami akan menghubungi setiap pelanggan yang telah menempah dan sepatutnya menerima Myvi mereka sebelum 1hb September untuk memanfaatkan tempoh kadar cukai sifar GST,”  kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Dato’ Dr Zahari Husin.

“Kami ingin menawarkan rebat tunai kepada para pelanggan kami yang dihargai apabila kenderaan mereka didaftar nanti, sebagai pampasan di atas kesulitan yang dialami. Kami juga akan memaklumkan kepada mereka mengenai masa penghantaran Myvi mereka dari semasa ke semasa,” katanya.

Kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) disifarkan daripada 6% sebelumnya bermula 1 Jun sehingga penghujung Ogos. Ini telah membawa kepada permintaan yang tinggi atas pembelian kenderaan. Pembeli menuntut agar kenderaan mereka didaftarkan sebelum 1hb September sebelum Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperkenalkan semula.

Pada 20hb Ogos lalu, Perodua telah mengumumkan bahawa pengeluaran model terlaris mereka, Myvi baru, telah tergendala akibat gangguan bekalan daripada pihak pembekal.

“Kami dengan rendah diri ingin memohon maaf bukan sahaja kepada mereka yang tidak dapat menerima kenderaan mereka sebelum SST diperkenalkan semula, tetapi juga kepada semua pelanggan yang telah menempah Myvi selepas daripada itu, kerana gangguan pengeluaran akan menyebabkan penghantaran kenderaan tergendala.

“Pelanggan sentiasa menjadi keutamaan kami di Perodua. Kami amat memahami kekecewaan dan rungutan yang diterima disebabkan perkara yang tidak diingini ini, dan kami akan sentiasa mencari kaedah penyelesaian yang terbaik untuk memastikan pengeluaran Myvi dapat beroperasi semula secepat mungkin,” kata Dato’ Dr Zahari.

Setakat ini, lebih daripada 68,000 Perodua Myvi telah diserahkan kepada pemiliknya daripada lebih 120,000 tempahan yang diterima sejak pelancarannya pada November 2017 lalu, menjadikan ia model terlaris Perodua sepanjang tahun setakat ini.

0 Shares

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.