Berita Domestik

Honda umumkan HR-V varian RS dibuka untuk tempahan

Honda Malaysia telah mengumumkan bahawa tempahan untuk HR-V RS, varian terbaharu telah dibuka bermula dari hari ini di cawangan Honda seluruh negara.

Varian RS itu bakal dilancarkan bersekali dengan model HR-V yang dikemaskini pada suku ketiga tahun ini. Model HR-V ini telah dipertontonkan kepada pihak media ketika jamuan Hari Raya Honda Malaysia bersama semalam.

Varian RS akan didatangkan dengan lampu hadapan jenis LED, lengkap dengan DRL dari jenis LED juga. Lampu kabus dan lampu belakang turut ditukar menjadi varian LED.

 

 

Selain dari itu, roda aloi 18-inci dwi-tona, gril sporty dan bamper baharu (depan dan belakang) dan beberapa aksesori lain seperti pembuka pintu warna krom gelap, pemegang plet krom hitam, perapi sisi (side sill) hitam dan penghias lampu kabus menambahkan lagi sifat agresif varian RS.

 

Pada bahagian enjin pula ia kekal pada 1.8L SOHC i-VTEC dengan transmisi CVT. Kelengkapan keselamatan termasuk enam beg udara, ESS, VSA dan HSA sebagai standard.

Mereka yang menempah HR-V RS ini akan dihadiahkan dengan Petronas Gift Card bernilai RM1,000.

HR-V dilancarkan di Malaysia dalam tahun 2015 dan lebih dari 72,000 unit telah terjual (sehingga Jun 2018), menjadikan ia SUV kompak nombor satu Malaysia.

 

 

Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia, Toichi Ishiyama juga menyampaikan ucapan terima kasih beliau kepada rakyat Malaysia yang memberikan sambutan baik terhadap produk Honda.

“Kami menerima tempahan luar biasa untuk bulan Jun 2018 kerana kempen GST sifar dan kerana itu tempoh penghantaran beberapa model kami akan mengambil masa antara tiga ke empat bulan,” ujarnya.

Beliau kemudian meminta maaf dan berjanji Honda Malaysia sedang bertungkus lumus untuk memastikan tempoh menunggu itu disingkatkan.

Pada majlis itu juga pihak media cuma dibenarkan mengambil gambar di bahagian luar (extrior) HR-V RS sahaja tanpa bahagian kabin dalaman (interior).

 

0 Shares

Apa Cerita

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.